Sanjeevan ditahan lagi selepas jumpa peguamnya

gobind-sanjeevan-1

PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan ditahan lagi hari ini.

Peguamnya, Gobind Singh Deo berkata, polis menahan anak guamnya pada jam 6.15 petang tadi di luar pejabat ahli Parlimen Puchong itu di Medan Damansara.

“Dia meinggalkan pejabat saya kira-kira 6.10 petang. Ketika keretanya hendak pergi, sebuah kereta polis menyekat laluannya sebelum sebuah lagi kereta polis datang dari belakang dan mereka menahan Sanjeevan,” katanya kepada FMT.

Gobind berkata, pegawai yang menahannya memaklumkan Sanjeevan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan tidak jujur ketika penyerahan harta serta akan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Katanya, tiada butiran lain diberikan.

Mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara satu hingga 10 tahun, disebat dan didenda.

Beliau bagaimanapun mengecam cara Sanjeevan ditahan dan menyifatkannya sebagai tidak perlu.

“Tidak ada keperluan untuk tahan dia seperti ini.

“Jika polis mahu dia hadir di balai polis atau mahkamah, mereka boleh beritahu dia atau kami sebagai peguamnya,” katanya sambil menambah Sanjeevan dan pejabatnya sedia memberi kerjasama.

Sanjeevan sudah keluar masuk mahkamah atas pelbagai pertuduhan termasuk peras ugut, selepas pertama kali ditahan pada 22 Jun lalu kerana disyaki memeras ugut dan melakukan ugutan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sejak kali pertama Sanjeevan ditahan, lebih banyak laporan polis dibuat mereka yang pernah diperas ugut pengerusi MyWatch itu.

Minggu lalu, Sanjeevan sendiri membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Khalid yang mendakwa abangnya memiliki sebuah akademi menembak.

Sanjeevan melalui Facebooknya mengesahkan dia dibawa ke Balai Polis Cheras dan dijangka dihadapkan ke mahkamah Jalan Duta, pada pagi esok.

PAUTAN:

Sanjeevan jangka akan didakwa lagi, kali ini AMLA

Sanjeevan minta SPRM siasat firma senjata milik abang ketua polis

Kali ketiga, Sanjeevan didakwa peras ugut