Khairy mungkin dedah kandungan pendrive Jumaat ini

KhairyKUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau mungkin akan mendedahkan pendrive yang dikatakan mengandungi laporan ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Jumaat ini.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, beliau kini dalam proses meneliti dokumen itu yang kandungannya didapati bukan tentang soal rasuah saja.

“Banyak dokumen tentang isu teknikal bola sepak, seperti kaedah latihan dan skuad kebangsaan. Saya sedang mencari bahagian yang berkaitan dengan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Bandar Tun Razak hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan pendrive tersebut kepada beliau dalam satu pertemuan di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Khairy berkata pendrive itu akan hanya diserahkan kepada SPRM selepas menemui unsur rasuah seperti yang didakwa.

“Tentulah saya tidak ingin memberikan dokumen berkaitan strategi bola sepak, yang tiada kena-mengena dengan rasuah, kepada SPRM,” katanya.

Namun beliau tidak menolak mungkin akan menyerahkan segala dokumen yang terkandung demi prinsip ketelusan.

TMJ sebelum ini mendakwa memiliki maklumat rasuah dalam FAM yang berlaku selama 30 tahun, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia dan laporan audit yang ‘merepek’.
Di sebalik kenyataan SPRM agar TMJ menyerahkan pendrive tersebut kepada mereka, beliau enggan berbuat demikian atas sebab masih banyak kes lebih besar yang gagal diselesaikan badan itu.

 

Pautan

TMJ serah pendrive ‘salah laku’ FAM pada KJ