
Pengerusinya, Teng Chang Yeow yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, DAP mesti menjalankan siasatan dalaman terhadap bapa Siew Khim yang dikaitkan dengan amalan rasuah dalam satu kes mendapatkan rumah kos rendah oleh seorang pembeli.
“Apabila kes NFC berlaku, ia tidak melibatkan Datuk Seri Shahrizat Jalil, tetapi suami dan keluarga beliau, namun beliau diserang dengan segala tohmahan. Tetapi apabila ia berlaku pada diri sendiri, mereka kata itu cerita lain,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihaknya tidak akan membuka siasatan dalaman terhadap Siew Khim kerana tidak wujud keperluan berbuat demikian lebih-lebih lagi apabila bapa Siew Khim pula bukan ahli DAP.
Bapa Siew Khim didakwa meminta “rasuah” untuk “potong barisan” bagi mendapatkan unit perumahan mampu milik di negeri itu.
Insiden itu didedahkan menerusi rakaman video yang menunjukkan bapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang itu yang “berkelahi” berhubung bayaran “rasuah”.
Teng juga berkata, dalam isu membabitkan bapa Siew Khim, individu terbabit secara jelas menyalahgunakan kedudukan anaknya untuk memberi manfaat kepada diri sendiri.
“DAP seharusnya menjalankan siasatan terhadap sistem yang berlaku dengan memanggil Adun berkenaan untuk meneliti sama ada berlaku percanggahan kepentingan kepada diri orang tersebut dan juga meneliti sistem pengagihan sedia ada,” katanya.
Jika tidak ada tindakan diambil, Teng menyifatkan prinsip CAT (cekap, akauntibiliti, telus) yang dicanangkan oleh kerajaan negeri hanya hiasan di bibir.
“Siasatan hendaklah dibuat jika mereka berpegang kepada prinsip CAT. Kalau tidak, CAT itu sudah matilah. Prinsip itu seperti mana yang kita tegaskan selama ini hanya laungan bibir DAP,” jelasnya.
NFCorp dimiliki oleh suami Sharizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan 3 anak pasangan tersebut. Isu ini berbangkit selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada 24 Oktober 2011.
Ia menyatakan keluarga Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5000 ekar (2,023 hektar) di Gemas,Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, NFC tidak diberikan tanah secara percuma seluas 5,000 ekar sebaliknya 1,500 ekar (607 hektar) tanah di Negeri Sembilan diberikan secara pajakan daripada Perbadanan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pautan: