Adun DAP disoal polis kaitkan Najib dengan MO1

Adun DAP disoal polis kaitkan Najib dengan MO1

Adun DAP itu mempertahankan kenyataannya dan berkata beliau tidak melakukan kesalahan.

tangkap-mo1
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Lee Chuan How hari ini disoal siasat polis berkenaan ucapannya di himpunan #TangkapM01 pada 27 Ogos lalu.

Pemimpin DAP itu hadir bersama peguamnya Ramkarpal Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Lee mempertahankan ucapannya menyeru pihak berkuasa menangkap individu yang dirujuk sebagai “Malaysian Official 1” (M01) yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, dan bertegas tidak akan menarik balik ucapannya walaupun didesak kerana yakin perbuatannya tidak menyalahi undang-undang negara ini.

“Saya rasa tiada masalah dengan ucapan saya mengaitkan MO1 dengan Najib kerana Rahman Dahlan sendiri mengesahkan M01 sebagai Najib,” katanya merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Sementara itu, Ramkarpal berkata beliau tidak pasti sama ada anak guamnya itu akan dikenakan tindakan atau sebaliknya.

“Kami juga tidak pasti jika beliau akan dicaj atau tidak. Lagipun, setakat ini tidak ada tanda beliau akan dipanggil lagi,” katanya.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen DAP, Teo Kok Seong, Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad serta 7 mahasiswa – Anis Syafiqah Md Yusof, Aqilah Zainuzi, Amir Abd Hadi, Luqman Hakim, Luqman Nulhakim, Suhail Wan Azahar dan Isaiah Jacob disiasat di bawah seksyen yang sama.

Pada 27 Ogos, lebih 2,000 orang kebanyakannya pelajar berkumpul menuntut tindakan ke atas MO1 yang dirujuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Julai lalu dalam dokumen memperincikan kecurian wang dari 1MDB.

 

Pautan:

Himpunan TangkapMO1 bermula perlahan

MO1 memang Najib, kata Rahman Dahlan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.