
Presiden Penaja Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerima sijil tersebut sebelum itu hadir bersama ahli jawatankuasa penaja Bersatu ke RoS di sini bagi memberi penjelasan berhubung peranan dan fungsi presiden serta pengerusi parti itu.
Muhyiddin berterima kasih kepada RoS dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi kelulusan pendaftaran untuk parti itu dalam tempoh 30 hari.
Muhyiddin sebelum ini menyerahkan permohonan bagi mendaftarkan parti itu pada 9 Ogos lalu.
Seorang pegawai RoS yang dihubungi berkata kelulusan itu diberikan setelah pihaknya berpuas hati dengan penjelasan daripada Bersatu berhubung peranan dan fungsi presiden serta pengerusi parti itu.
Semalam, Zahid berkata kelulusan rasmi akan diberikan selepas Bersatu memberi penjelasan berhubung peranan dan fungsi presiden serta pengerusi parti itu kepada RoS.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu yang ditemui media di RoS berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, usaha sedang dilaksanakan agar semua parti pembangkang bergabung dalam satu pakatan supaya tidak akan ada pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum nanti.