
“Jika saya boleh bekerja dengan Lim Kit Siang, kenapa tidak boleh kerja dengan Anwar?,” katanya ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat dengan Pendaftar Pertubuhan untuk memuktamadkan kelulusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika mereka ada bercakap mengenai kemungkinan kerjasama di antara partinya dan PKR, ketika pertemuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
Dr Mahathir berkata kerjasama seumpama itu tidak dibincangkan pada pertemuan bersejarah mereka, kali pertama sejak beliau memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri, 18 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya kerjasama antara parti pembangkang diperlukan jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Bila pembangkang bertanding sebagai parti yang berasingan daripada pakatan pembangkang, mereka sebenarnya berjuang untuk BN, kerana dalam pertembungan 3 penjuru, ada kemungkinan besar BN akan menang, bukan parti lain.
“Sama juga jika parti tidak mahu menyertai pakatan pembangkang, mereka sebenarnya berjuang untuk BN, memastikan BN kekal sebagai kerajaan Malaysia,” katanya.
Ditanya mengenai penyertaan PAS dalam gabungan pembangkang, Dr Mahathir berkata ia terserah kepada mereka dan parti lain.
Bersatu ialah parti serpihan Umno dibentuk untuk menentang BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa kumpulan itu melakukan kesalahan rasuah.