
Beliau berkata, pihaknya mengadakan siri perjumpaan dengan wakil rakyat terbabit menerusi jawatankuasa khas dipengerusikan Naib Presiden Umno Khaled Nordin.
Bagaimanapun, Asyraf menjelaskan hasrat itu berdepan kekangan undang-undang sedia ada.
“Itu sedikit halangan kerana ada Akta Antilompat Parti. Tapi, saya boleh katakan kebanyakan mereka yang berstatus Ahli Parlimen dan Adun juga amat berminat menyertai kembali Umno,” katanya selepas sesi konsultasi awam Rang Undang-undang (RUU) Mara.
Asyraf berkata, selain wakil rakyat kemasukan ahli di peringkat akar umbi dan penyokong juga dilihat berlaku secara besar-besaran setiap hari mengikut bahagian masing-masing.
Katanya, trend kepulangan bekas ahli didorong sikap terbuka dipamerkan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi.
“Presiden minta supaya semua bahagian mengambil inisiatif proaktif. Jangan tunggu mereka datang, kita yang turun ke sana.
“Kita ambil iktibar daripada sikap presiden sendiri yang boleh berlapang dada. Kalau orang yang pernah memaki hamun dan memfitnah beliau pun boleh maafkan, apa sangatlah kita di peringkat cawangan atau bahagian,” katanya yang juga pengerusi Mara.
Zahid sebelum ini mencetuskan inisiatif Rumah Bangsa bagi mempelawa ahli dipecat dan digantung kembali menyertai Umno sekali gus menyatukan orang Melayu.