Pinda Akta Mara: Zahid bentang kertas dasar 25 Mei

Pinda Akta Mara: Zahid bentang kertas dasar 25 Mei

70% daripada cadangan melibatkan soal tadbir urus bagi mengelakkan pemusatan kuasa, kata Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki.

MARA BUILDING
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pindaan Akta Maramahu mengelakkan pemusatan kuasa di tangan pengerusi atau ahli majlis.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi akan membentangkan kertas dasar berhubung pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada Jemaah Menteri pada 25 Mei.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Zahid mengarahkan Mara menyiapkan draf berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelum diangkat ke Jemaah Menteri.

“Sebanyak 70% daripada cadangan pindaan ini melibatkan soal tadbir urus. Kita tidak mahu lagi pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada pengerusi atau mana-mana ahli majlis.

“Hari ini pengerusi boleh buat keputusan dan minta majlis untuk memperakuinya. Walaupun ia tidak dianggap kesalahan perundangan namun ia adalah betul dari segi undang-undang tapi salah dari segi moral,” katanya selepas sesi konsultasi awam berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Mara 2026.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata cadangan lain termasuk penubuhan empat jawatankuasa tetap seperti jawatankuasa audit, jawatankuasa tadbir urus, dan jawatankuasa pelaburan.

Langkah itu bertujuan memastikan organ berkenaan wujud secara mandatori bagi melindungi Mara daripada risiko penyelewengan atau ketirisan, tanpa kira siapa menerajuinya.

“Pemimpin boleh datang dan pergi, pengerusi atau menteri boleh berubah, tetapi institusi mesti kekal kuat dan mampan untuk 100 tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mara mempertimbangkan pandangan NGO untuk menyelaraskan mandat institusi itu dengan Fasal 153 Perlembagaan bagi memperkukuh agenda Bumiputera.

Pada 3 Mei lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan draf pindaan Akta Mara disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.