
Timbalan Presiden Imam Dr Jamali Wagiman berkata kaedah itu juga menepati konsep Tanzim an-Nasl (menyusun zuriat keturunan) yang dihukumkan harus di sisi Islam dan ia lebih mesra fitrah keibubapaan dan mampu menghindar pengguguran kandungan yang tidak perlu.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga dicadangkan menubuhkan Jawatankuasa Etika Bio-Perubatan yang dianggotai pakar bidang perbidanan, penyakit berjangkit, psikiatri, ahli etika bio dan tokoh agama daripada institusi diiktiraf.
“Jawatankuasa itu akan bersidang mengikut keperluan apabila terdapat kes. Kaedah ini lebih menepati hasrat mendapatkan keputusan secara kolektif dan mengiktiraf peranan pakar daripada kedua-dua bidang perubatan dan agama seperti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dilaporkan sebagai berkata tindakan menggugurkan janin boleh diambil jika janin yang kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya.
Pandangan itu turut dipersetujui Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad yang berpendapat pengguguran janin adalah harus jika risikonya disahkan pakar perubatan dan dengan persetujuan ibu dan bapa.
Dr Jamali berkata proses membuat keputusan sama ada kandungan perlu digugurkan atau tidak menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan itu dilihat lebih selamat dan adil buat pesakit dan bayi dalam kandungan, selain mengelakkan keputusan bersifat unilateral yang mungkin kemudiannya bercanggah antara amalan perubatan mahupun hukum syariah.
“Pengguguran kandungan ialah keputusan yang rumit dan sentiasa menjadi dilema di peringkat pakar perbidanan dan sakit puan (O&G) kerana ia melibatkan kod etika profesional seorang doktor yang bersumpah menyelamatkan nyawa sepanjang profesion mereka.
“Ia bukan saja menjadi perhatian besar di sisi bidang perubatan tapi pandangan agama kerana melibatkan soal nyawa dan nasab keturunan,” katanya.
Sehubungan itu, Imam berkata anjuran atau keputusan mengenai pengguguran kandungan dalam kes wanita hamil penghidap Zika tidak harus dilaksanakan secara terburu-buru dan melibatkan sebahagian pihak saja.
Beliau berkata walaupun terdapat undang-undang dan garis panduan daripada Kementerian Kesihatan berkaitan pengguguran kandungan, instrumen itu hanya panduan umum kepada profesional perubatan namun pelaksanaannya haruslah dilihat pada keperluan setiap kes dan bersifat individu.
“Risiko dan komplikasi Zika masih di peringkat awal di mana maklumat mengenainya masih terhad, jadi orang awam dinasihatkan tidak menyebarkan atau percaya pada khabar angin mengenai rawatan Zika daripada pihak tidak berwibawa di media sosial,” katanya.
Pautan