
“Janganlah ada dalam kalangan anda yang gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda menurut Bernama pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid membabitkan 850 orang di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Baginda mengingatkan semua nazir serta ahli jawatankuasa masjid dan surau tidak mudah mempercayai berita palsu, selain perlu menyemak kesahihan fakta sebelum menyebarkannya kerana dosa memfitnah lebih besar daripada membunuh.
“Ketahuilah bahawa Beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau di negeri ini dan Beta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya perlu.”
Sultan Sharafuddin turut menyeru imam masjid dan surau tidak hanya mendalami ilmu agama, malah memiliki keupayaan mengurus dan mentadbir masjid dengan baik.
Baginda bertitah imam perlu berperanan sebagai pemimpin masyarakat, pendamai dalam perselisihan serta penggerak perpaduan dalam kalangan ahli kariah, selain mengamalkan semangat kesatuan, saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang jemaah.
Pada masa sama, Sultan Selangor menegaskan masjid dan surau perlu bebas sepenuhnya daripada pengaruh serta cengkaman politik kepartian, selain tidak boleh dijadikan medan meraih sokongan atau kepentingan peribadi ahli politik.
Titah baginda, masjid berperanan sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah, bukannya gelanggang politik atau tempat menyemai kebencian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.
“Beta juga tidak mahu dengar ada nazir dan ahli jawatankuasa masjid serta surau terlibat secara langsung dalam politik kepartian, termasuklah memegang apa-apa jawatan politik, dan dalam masa sama dilantik menjadi nazir dan imam masjid dan surau kerana perkara ini boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat.”
Baginda menegaskan jawatan nazir dan imam bukan jawatan politik untuk direbutkan bagi kepentingan peribadi, sebaliknya amanah yang akan dipersoalkan di depan Allah kelak.