Mangsa culik di Pulau Pom Pom warga Filipina

Datuk_Abdul_Rashid_Harun.transformedKOTA KINABALU: Polis Sabah mengesahkan 3 kru kapal nelayan yang diculik di perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam tadi adalah warga Filipina, namun memiliki dokumen IMM13 serta Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun ketiga-tiga mangsa berkenaan dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an diculik 7 lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40 malam.

“Ketika kejadian kapal nelayan yang dinaiki mangsa didatangi sebuah bot laju yang dinaiki 7 lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol serta M16. Enam suspek menaiki kapal berkenaan dan mengarahkan semua anak kapal supaya meniarap di lantai, seorang lagi suspek menunggu di dalam bot laju itu.

“Suspek kemudiannya menggeledah kapal nelayan itu, sebelum melarikan beg pakaian, telefon bimbit dan dompet milik beberapa anak kapal nelayan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kapal nelayan berkenaan keluar untuk menangkap ikan di perairan berkenaan pada kira-kira 4 petang semalam.

Rashid berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut mengenai penculikan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.