
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata isu kekurangan doktor di Sabah, Sarawak dan seluruh negara kekal cabaran besar memerlukan pendekatan menyeluruh merentas kementerian serta agensi kerajaan.
Menurutnya, masalah kekurangan dan agihan tidak seimbang itu tidak boleh diselesaikan KKM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
“Di Sabah, KKM mengambil beberapa langkah termasuk meningkatkan penempatan doktor muda. Di Sandakan misalnya, kita ada 42 pegawai perubatan siswazah baharu ditempatkan di Hospital Duchess of Kent dan 70%daripadanya anak Sabah.
“Saya mahu lihat usaha ini terus diperluaskan kerana kita tahu cabaran menarik pegawai perubatan bertugas di Sabah agak besar,” katanya menurut Harian Metro selepas merasmikan Wellness Hub Sandakan, Sabah.
Terdahulu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki dilaporkan berkata, berdasarkan data JKNS, hanya 2,884 doktor sedang berkhidmat di negeri itu, yang memerlukan sekitar 9,000 doktor.
Dzulkefly berkata, KKM turut memperkukuhkan laluan latihan kepakaran dan program sarjana tempatan bagi meningkatkan bekalan doktor pakar negara.
Katanya, beliau juga mahu tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak diteruskan selepas tahun ini, khasnya bagi mereka yang komited berkhidmat di Sabah dan kawasan memerlukan.
Malaria monyet
Dzulkefly berkata, 357 kes jangkitan malaria monyet direkodkan setakat Minggu Epidemiologi ke-16, termasuk satu kematian dengan kawasan utama penyumbang adalah Tawau, Ranau dan Kudat.
Jelasnya, peningkatan itu semakin serius dan memerlukan kerjasama KKM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi lain, termasuk Jabatan Hidupan Liar bagi menangani penularan jangkitan.
“Kita memerlukan sistem pengurusan persekitaran bagi mengurangkan interaksi antara manusia dan haiwan. Kepentingan pengurusan sisa pepejal lebih baik amat penting bagi mengelakkan haiwan ini tertarik ke kawasan penempatan manusia.
“Semua klinik kesihatan dan hospital di bawah KKM mempunyai keupayaan mengesan malaria monyet serta memberi rawatan segera sebagai langkah utama mengawal penularan.”