Mudah menang antara alasan atlet paralimpik hanya dapat 30% elaun

khairy Muhammad Ziyad Zolkefli'

PETALING JAYA: Dua atlet kelainan upaya negara yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio akan menerima ganjaran wang tunai RM1 juta seperti yang ditawarkan kerajaan kepada atlet Olimpik sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan perkara itu ketika menjawab soalan peminat sukan menerusi Twitternya hari ini, susulan kejayaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli menyumbang dua pingat emas kepada kontinjen negara di Brazil, semalam.

Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang pingat emas bakal menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, perak pula mendapat RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Dalam pada itu, Khairy menerusi Facebooknya mendedahkan pelbagai alasan yang diberikan untuk menolak cadangan menaikkan elaun atlet paralimpik supaya ganjaran yang diterima mereka sama dengan atlet normal.

Katanya, selepas Ziyad muncul juara dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Lyon, Perancis tiga tahun lalu, beliau segera bertanyakan pegawai jika kementeriannya menyediakan insentif kepada atlet paralimpik yang berjaya mencapai kemenangan di peringkat antarabangsa.

“Saya diberi jawapan memang ada. Tetapi jumlah yang diberi kurang, sebab ini sukan para. Saya tanya kurang berapa, atlet para ni dapat 30% daripada ganjaran atlet normal,” tulisnya dalam laman media sosialnya hari ini.

Khairy berkata, selaku menteri dan Pengerusi MSN, beliau membangkitkan isu itu dan mencadangkan ganjaran sama diberikan kepada atlet paralimpik pada mesyuarat Lembaga MSN beberapa hari kemudian.

“Macam-macam hujah diberi untuk menidakkan cadangan saya. Paralimpik ini baharu, acara mereka tak ramai penyertaan, paralimpik ini terlalu banyak kategori acara, mudah untuk menang. Nampak gaya lembaga cenderung menolak cadangan saya.

“Saya teringat kepada Ziyad dan pengorbanannya. Saya pinjam semangat Ziyad dan saya tanya satu soalan sahaja. Saya masih ingat, saya tanya dalam bahasa Inggeris ‘Do any of you around this table know what it takes to become a world champion with a disability? What it takes to overcome your disability and succeed?

“Tiada seorang pun dapat menjawab. Saya sambung…baiklah, mulai sekarang semua atlet Malaysia, tak kira biasa ke para ke, diberi ganjaran sama.”

Ketua Pemuda Barisan Nasional itu berkata, pencapaian dan pengorbanan atlet paralimpik negara perlu dihormati seperti atlet normal.

“Saya tidak akan tahu bagaimana merasa 30% berbangga dengan mereka. Saya hanya merasa 100% berbangga dengan wira paralimpik. Mereka menunjukkan kepada kita mereka tidak biasa. Mereka adalah luar biasa,” tulisnya memuji pencapaian cemerlang atlet kelainan upaya negara di peringkat dunia.

Semalam, pelari pecut, Ridzuan merangkul emas pertama negara menerusi acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), manakala Ziyad pula menyumbang emas kedua kontinjen negara dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).

Lebih mengagumkan apabila Ridzuan berjaya memecahkan rekod kejohanan lama dan Ziyad pula mencipta rekod dunia baharu.

Pautan:

Atlet Malaysia cipta sejarah menang 2 emas di Paralimpik Rio

Pemenang emas Paralimpik Rio terima hadiah kereta