Ahli dipecat mahu kembali kepada Umno, kata Ku Nan

tengku-adnan-mansor-umno

PUTRAJAYA: Ahli yang dipecat Umno kini hendak kembali kepada parti itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, ada juga ahli berdepan tindakan disiplin, termasuk digantung atau dikenakan amaran, mahu kembali ke pangkuan Umno.

Katanya sebagai menepis dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kononnya ramai pemimpin Umno akan keluar parti, susulan pengumuman dua pemimpin Umno bahagian minggu lalu.

Tanpa memberikan sebarang nama, ahli Parlimen Putrajaya itu berjanji akan memberikan senarai nama mereka yang berhasrat kembali kepada Umno lain kali.

Ku Nan berkata, ramai mendakwa tindakan diambil ke atas mereka tidak adil, seperti dakwaan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecatnya tidak mengikut prosedur.

Beliau berkata, selain Lembaga Disiplin Umno, MT juga mempunyai kuasa mengambil tindakan disiplin terhadap ahli dan ini menyebabkan Muhyiddin tidak puas hati serta bertindak menubuhkan sebuah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk membalas dendam.

“Tengoklah saya. Saya keluar masuk keluar masuk. Saya tidak pernah menentang parti.

“Saya tidak pernah marah kerana bagi saya, perjuangan parti lebih penting, bukannya individu,” katanya merujuk portfolio berlainan dalam Kabinet di bawah pentadbiran beberapa perdana menteri.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha, hari ini.

Ku Nan berkata, masalah akan timbul apabila mereka yang menyertai parti politik mengutamakan kepentingan peribadi melebihi parti.

Katanya, lebih baik ahli Umno yang menjadi duri dalam daging meninggalkan parti itu dan beliau percaya ahli Umno akan kekal bersatu dalam parti itu.

Pengasas Umno Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani tiba-tiba mengumumkan keluar parti ketika menyampaikan ucapan pada mesyuarat perwakilan bahagian itu, pagi kelmarin, dengan mendakwa sebahagian besar kepimpinan Umno yang ada sekarang tidak menerima kenyataan sebenar akibat daripada krisis dihadapi Umno.

Tindakannya itu disusuli Timbalan Ketua Umno Bahagian Kulai, Tosrin Jarvanti yang juga pegawai khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mengumumkan keluar parti pada Sabtu lalu.

Tengku Adnan turut mempertahankan penggantungan keahlian exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen selama enam tahun selepas mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke sebuah program anjuran Umno, tahun lalu.

Katanya, parti mempunyai bukti mencukupi dan menggesa mereka yang tidak berpuas hati supaya menggunakan saluran betul untuk menyuarakan masalah mereka, bukannya memburukkan parti secara terbuka.

Pautan:

Mukhriz jangka beberapa pemimpin Umno Kedah akan keluar parti

Pengasas Umno Gelang Patah umum keluar parti