Ku Nan seru pemimpin BN guna platform betul utarakan pandangan

ku-nan-bn-2

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menggesa semua pemimpin dan ahli partinya supaya hanya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan bagi mengelak sebarang salah faham.

Bercakap dalam majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di sini, Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, Majlis Tertinggi BN adalah platform untuk berkongsi semua pandangan.

“Tolong jangan berkata sesuatu yang boleh menyakiti orang lain. Kami adalah parti berbilang kaum dan mempunyai forum kami sendiri,” katanya.

Ku Nan berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pertengakaran antara Datuk Seri Ti Lian Ker dari MCA dan Menteri Umno, Datuk Seri Nazri Aziz, selepas Ti menggesa Umno mengubah jenama politik perkauman.

Nazri kemudiannya membalas dengan berkata MCA harus keluar dari BN dan berdiri sendiri untuk membuktikan mereka boleh menang tanpa sokongan Umno.

Ku Nan berkata pandangan Ti adalah pandangan peribadi dan mungkin Nazri juga tidak mendengar sendiri apa yang dikatakan oleh Ti.

Ku Nan akui pada kebanyakan masa, beliau enggan berkata apa-apa mengenai sesuatu perkara kerana tidak pernah mendengarnya sendiri.

“Apabila saya mendengar dengan telinga saya sendiri maka saya boleh komen. Apabila saya dengar daripada pihak ketiga, pihak ketiga mungkin berniat menghasut.”

Ku Nan berkata, terdapat beberapa orang yang mencemburui BN dan mahu memecah-belahkan parti itu dengan mempengaruhi parti-parti komponen seperti MCA dan MIC supaya meninggalkan BN.

“Mereka mahu memecahkan kita tetapi percayalah, tidak akan berlaku apa-apa kecacatan dalam BN, kerana apa sahaja keputusan yang kita buat, tidak kira daripada parti kecil atau parti besar, itu semua dalam konsensus.”

“Kami adalah satu-satunya parti pelbagai kaum di negara ini. Itu yang dicemburui dan menjadi sasaran untuk dihancurkan.”