Rakyat muak dengan janji palsu, bahas Perjanjian Malaysia di Parlimen

Darell-Leiking-1
PETALING JAYA: Pemimpin PKR menggesa satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membahaskan Perjanjian Malaysia 1963.

Naib Presidennya, Darell Leiking berkata, perjanjian itu adalah topik terhangat di Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun lalu dan kerajaan tidak boleh mengabaikannya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata, sejak kebelakangan ini, ada pihak tertentu menunjukkan kesungguhan menubuhkan jawatankuasa, selepas janji diberikan jawatankuasa mengkaji isu Perjanjian Malaysia 1963 mungkin tidak dapat ditunaikan.

“Saya rasa rakyat sudah muak dengan jawatankuasa demi jawatankuasa yang ditubuhkan dan janji diberikan.

“Sudah sampai masanya untuk kita membahaskan isu ini di Parlimen. Sama ada kita bersetuju menubuhkan sebuah lagi jawatankuasa selepas perbahasan diadakan, itu perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, parti komponen Barisan Nasional Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan penubuhan dua jawatankuasa untuk mengkaji isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Leiking berkata, beliau akan memastikan semua 56 ahli Parlimen dari Sabah serta Sarawak menghadiri sidang khas Parlimen itu, tetapi ahli Parlimen BN perlu mengemukakan usul mengenai perkara itu.

Ini kerana, katanya, di bawah pentadbiran sedia ada, hanya usul yang dikemukakan BN akan diutamakan.

Beliau berkata, negara kini berada di persimpangan dan rakyat Sabah sudah melihat bagaimana rakyat Sarawak meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan terdesak sehingga menyebabkan semua permintaan Bumi Kenyalang perlu dipenuhi kerajaan pusat.

Katanya, Tan Sri Adenan Satem dengan jelas menghantar isyarat kepada Sabah untuk menyertai beliau dalam pergelutan mendapatkan lebih banyak autonomi, apabila ketua menteri Sarawak itu memberi amaran kepada BN ia mungkin kehilangan banyak kerusi Parlimen, jika Putrajaya enggan menurunkan kuasa kepada Sarawak.

“Kerajaan persekutuan yang sepatutnya memenuhi tanggungjawab mereka, cuba menenangkan kami dengan menjanjikan projek pembangunan besar kepada Sabah dan Sarawak, serta kata mereka beri banyak perhatian, mendengar dan memberi ini dan itu kepada kami.”

Bagaimanapun, katanya, apa yang tidak diberikan kepada Sabah dan Sarawak adalah kedudukan sama dalam persekutuan.

Leiking berkata, ramai ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia percaya janji diberikan kepada Sabah dan Sarawak, seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963, perlu dipenuhi.

“Sebagai seorang ahli Parlimen, saya mahu melihat setiap ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak menggesa perbahasan mengenai isu ini diadakan di Parlimen,” katanya sambil menambah 4 hari perlu diperuntukkan untuk membahaskan isu berkenaan.

“Kemudian, biar perdana menteri jawab. Beliau perlu beri jawapan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Saya memberi jaminan semua rakyat Sabah dan Sarawak, tidak kira di mana mereka berada, akan menyaksikan perbahasan itu secara langsung di Internet ketika kami menuntut hak kami.”

Leiking menolak dakwaan perbahasan itu akan menyebabkan Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia, sebaliknya ia akan mengembalikan kedudukan kedua-dua negeri itu dalam persekutuan.