Junz Wong akan sertai parti baharu Shafie?

Junz Wong

12KOTA KINABALU: Tindakan Junz Wong menjamu selera bersama Datuk Seri Shafie Apdal menguatkan lagi spekulasi adun Likas itu akan menyertai parti baharu bekas naib presiden Umno itu.

Wong bagaimanapun enggan mengesahkan jika beliau akan menyertai parti baharu Shafie.

“Saya akan membuat pengumuman berhubung perkara ini tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 2 Oktober lalu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin mengetuai Adun Moyog, Terence Siambun, Setiausaha Agung parti negeri, Datuk Maijol Mahap dan Ketua Wanita parti negeri, Johair Matlani mengisytiharkan keluar PKR.

Wong bersama Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh, Naib Pengerusi negeri, George Hiew dan 7 exco DAP Sabah turut mengambil keputusan sama.

Tindakan mereka itu menyusul Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking yang meletak jawatan sebagai naib presiden PKR untuk menjadi timbalan Shafie dalam parti baharu yang “diambil alih” mereka berdua bulan lalu, tetapi belum dinamakan.

Wong dilihat makan tengah hari bersama Shafie, Leiking, Terrence dan Hiew di sebuah restoran di Kota Kinabalu.

Isnin lalu, Wong dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, beliau dan rakannya dijangka mengumumkan keputusan sama ada akan menyertai parti baharu Shafie atau Lajim, dalam tempoh 2 minggu lagi, kerana tidak mahu membuat keputusan terburu-buru.

Pautan:

Parti baharu Sabah mahu utamakan pendidikan

Pengerusi Sabah sahut seruan, isytihar keluar PKR

Adun PKR, DAP dijangka ikut Darell keluar parti