PETALING JAYA: Selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasrudin Hassan Tantawi menyerang DAP, seorang lagi pemimpin PAS hari ini menganggap parti itu tidak perlu lagi bekerjasama dengan DAP.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyokong gesaan Nasrudin untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan mana-mana parti bersama DAP yang menggambarkan hasrat akar umbi parti Islam itu, khususnya selepas Muktamar Tahunan 2015.
Beliau turut mempelawa rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina untuk bersama menolak DAP yang tidak berprinsip.
Ini kerana, katanya, DAP dahulu menyokong agenda hudud diperjuangkan PAS, tetapi kini ia berubah dan membantah Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang diusulkan presiden parti Islam itu, Mei lalu.
“Jika sebelum ini, DAP yang berperanan memberi penjelasan kepada masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Tionghua agar tidak bimbang dengan agenda hudud, kerana ia sama sekali tidak melibatkan kaum bukan Islam.
“Namun pada hari ini, DAP yang berada di barisan hadapan untuk membantah Rang Undang-undang untuk meminda Akta 355 yang hanya bertujuan mengangkat bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“DAP hari ini mula membuktikan dengan jelas ia merupakan sebuah parti yang sangat anti kepada usaha memperkasakan undang-undang syariah di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2 Oktober lalu, Hadi berkata, PAS hanya akan bekerjasama dengan parti yang mahu menegakkan Islam di negara ini, dan menolak kerjasama dengan DAP serta “parti lain yang mengikut” parti sosialis itu.
Beliau meletakkan syarat parti yang ingin mengajak PAS bekerjasama perlu melakukan perubahan untuk menegakkan Islam, kerana perjuangan itu membawa ke akhirat.
Pada 28 September lalu, Nasrudin berkata, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berhasrat membawa pembaharuan kepada negara, namun ia tidak akan mengulangi kesilapan sama untuk bekerjasama dengan DAP.
Ketua penerangan PAS itu berkata, sehingga hari ini, DAP dan mereka yang bersama parti itu masih menentang dasar Islam diperjuangkan PAS.
Pada 23 September lalu, Nik Abduh dilaporkan menolak rancangan bekerjasama semula dengan DAP, kerana gandingan kedua-dua parti itu tidak akan mampu menghasilkan formula bagi menarik undi rakyat disebabkan sikap DAP yang gagal memenangi hati orang Melayu.
Ketua pemuda PAS itu berkata, Malaysia tidak mampu menerima politik benci-membenci dengan fitnah dan saling mencipta provokasi serta sentimen jahat sesama rakyat.
Pada 1 Oktober lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menawarkan kerjasama antara parti itu dengan PAS dan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau berkata, 3 jenis kerjasama yang boleh berlaku antara mereka ialah pembentukan barisan pembangkang, kerjasama PPBM, PAS dan PH, atau kerjasama pilihan raya antara semua parti pembangkang.
Pautan:
Hadi serang DAP, hanya mahu kerjasama dengan parti ‘tegakkan Islam’
PAS tidak akan kerjasama dengan DAP dan sekutunya, kata Nasrudin