Ramkarpal nafi parti pembangkang tidak boleh bekerjasama

Ramkarpal nafi parti pembangkang tidak boleh bekerjasama

Ahli Parlimen Bukit Gelugor akui sukar untuk menyatukan PAS dengan Pakatan Harapan, lantaran agenda dan ideologi yang berbeza.

ramkarpal-mahathir
PETALING JAYA:
Pemimpin DAP Ramkarpal Singh membidas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa pakatan pembangkang tidak mampu bekerjasama.

“Untuk mengatakan parti pembangkang hanya mementingkan diri adalah tidak betul sepenuhnya.

“Kita harus ingat PAS bukan lagi dalam Pakatan Harapan. Jadi, kita tak lagi berbincang dengan PAS. Saya rasa beliau (Mahathir) merujuk kepada PAS,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau menambah sejak PAS tidak lagi menganggotai pakatan pembangkang, parti lain seperti PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan rapat di negeri yang ditadbir, seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor menjawab kenyatan Mahathir, yang mengakui sukar untuk menewaskan BN kerana parti pembangkang tidak boleh bersatu.

Ramkarpal berkata sukar untuk menyatukan PAS dengan Pakatan Harapan, lantaran agenda dan ideologi yang berbeza.

“Jelas sekali PAS mempunyai agenda tersendiri yang tidak boleh disesuaikan dengan parti lain dalam Pakatan.

“Mereka (PAS) jelas menyatakan ia mahukan hudud dan tidak boleh bekerjasama dengan Pakatan Harapan.”

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian berkata DAP dan PAS perlu mencari titik persamaan.

“DAP dan PAS tidak jumpa titik persamaan dan sebab itu mereka tak dapat selesaikan isu ideologi antara mereka.

“Itu lebih utama daripada sekadar menggulingkan kerajaan sedia ada.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkongsi pendapat serupa.

“Dakwaan itu tidak benar kerana kami bekerjasama dengan baik dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013,” katanya kepada FMT melalui WhatsApp.

Bagaimanapun, wakil rakyat DAP akui parti pembangkang wajib membentuk barisan yang bersatu untuk berdepan BN pada pilihan raya umum nanti.

“Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan BN akan menang mudah sekiranya kami tidak boleh bekerjasama. Memang begitu keadaannya sejak Merdeka sehingga 1990, yang menyaksikan BN menang majoriti besar.

“Mulai 1990, kerjasama pilihan raya antara parti pembangkang menyaksikan pembangkang mendapat kerusi.”

Pada masa yang sama, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata PKR, DAP dan Amanah konsiten dalam usaha membentuk perikatan yang utuh.

“Sejak hari pertama lagi kami katakan kita perlu pastikan parti pembangkang bertemu BN secara satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.”

Awal hari ini, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menghentam PAS, yang berkata satu lawan satu tidak mungkin berlaku sekiranya PAS tidak menganggap BN sebagai musuh.

Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir berkongsi pendapat serupa, dan berkata PAS angkuh apabila tidak mahu berbincang dengan pakatan pembangkang, lantas menganggu usaha memastikan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.