Bukan kerana jari hantu, tetapi kerana wanita lantang, kata peguam Siti Kasim

siti-kasim_face_600_0PETALING JAYA: Peguam Siti Kasim percaya siasatan terhadapnya kerana menunjukkan jari tengah kepada peserta forum sebenarnya reaksi kepada keberanian seorang wanita Melayu mempertikaikan idea ‘Islamis’ tertentu.

Ditemubual The Australian, Siti berkata: “Isunya bukan mengenai jari tengah. Isunya mereka terkejut melihat seorang wanita Melayu berani persoalkan idea ‘Islam’ mereka, hasrat mereka untuk ‘mengislamkan’ Malaysia.”

Polis sudah mengambil keterangan Siti Kasim pada Isnin. Beliau disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang.

Sebelum ini dilaporkan Siti menunjukkan jari tengah selepas hadirin mengganggunya kerana mempersoalkan Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan di Parlimen dalam forum Pindaan Akta 355: Antara Realiti & Persepsi 5 September lepas.

Siti dipetik The Australian sebagai berkata: “Lelaki yang membuat laporan polis itu cuba mengenakan saya dengan mendakwa saya menghina Islam, kesalahan yang serius di negara ini.

“Tetapi semua orang boleh tonton video itu. Saya tidak mengatakan apa-apa mengenai Islam. Mereka mengganggu saya jadi ia respon automatik. Tidak ada gunanya mengherdik mereka. Saya tunjuk jari tengah kerana saya memandang hina kelakuan mereka.

“Jika benar mereka mahu perkenalkan syariah, nyatakan secara khusus hukuman yang mereka mahukan.”

Laporan itu sterusnya berkata RUU itu bertujuan untuk memberi kuasa yang lebih lebar kepada mahkamah syariah dan meningkatkan hukuman untuk kesalahan, termasuk memotong tangan.

Siti disoal polis beberapa hari sebelum RUU Persendirian akan dibahaskan di Parlimen, yang akan bersidang Isnin.

Laporan itu berkata RUU itu – yang sekadar memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan sebagai undang-undang – dirasakan cara untuk memperkenalkan hudud di Malaysia secara senyap, bukan melalui pindaan pada Perlembagaan, yang memerlukan majoriti 2/3.

Ia berkata penyokong hudud mendakwa mereka cuma mahu meningatkan kuasa mahkamah syariah untuk orang Islam, dan perubahan itu tidak akan memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Laporan The Australian menunjukkan hudud ketika diperkenalkan di Aceh, Indonesia pada 2001 terhad kepada orang Islam sahaja, tetapi tahun lepas diperluaskan kepada semua warganya. Pada April, seorang wanita Kristian 60 tahun didapat bersalah kerana menjual alkohol menjadi orang bukan Islam pertama di negeri itu yang dirotan di bawah undang-undang Islam.