
Ketidakhadiran Denmark pada forum tahun ini contoh jelas ketegangan politik sedang berlaku.
Trump mengetuai delegasi AS terbesar dalam sejarah WEF, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan utusan khasnya Steve Witkoff, sekali gus memberi isyarat penglibatan aktif pentadbiran AS dalam membentuk wacana forum tahun ini.
Forum yang berlangsung dari Isnin hingga Jumaat ini bertemakan “A Spirit of Dialogue”.
Hujung minggu lalu, Trump mengumumkan tambahan tarif 10% bermula 1 Feb ini ke atas lapan negara Eropah termasuk Denmark, Britain, Perancis dan Jerman, yang semuanya menentang pengambilalihan Greenland, wilayah autonomi Denmark.
Sebagai tindakan lanjut yang dilihat mempersendakan pemimpin Eropah, Trump pada Selasa berkongsi imej janaan kecerdasan buatan (AI) di platform Truth Social memaparkan beliau, diikuti Naib Presiden JD Vance dan Rubio, memacak bendera AS di Greenland dengan papan tanda bertulis “US territory est 2026”.
Imej AI kedua menunjukkan Trump di Pejabat Oval bersama pemimpin Eropah, membentangkan peta menunjukkan Greenland, Kanada dan Venezuela dilitupi bendera AS.
“Kebuntuan isu Greenland mengganggu hari pembukaan forum yang sebelum ini dijangka memfokuskan AI, pertumbuhan ekonomi dan perubahan iklim,” lapor majalah TIME pada Selasa.
Menjelang ucapan Trump pada Rabu, pemimpin dunia “memulakan minggu di Davos dengan kecaman secara halus terhadap tindakan Trump,” menurut majalah itu.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, pada Selasa memberi amaran “perpecahan” dalam orde dunia semasa ucapannya di forum berkenaan.
Beliau berkata, dalam era persaingan kuasa besar, “orde berasaskan peraturan semakin pudar” dan “pihak kuat melakukan apa yang mereka boleh, manakala yang lemah terpaksa menderita”.
Tanpa menamakan Trump, Carney merujuk “hegemoni Amerika”.
Beliau berkata: “Baru-baru ini, kuasa besar mula menggunakan integrasi ekonomi sebagai senjata. Tarif sebagai pengaruh. Infrastruktur kewangan sebagai paksaan. Rangkaian bekalan sebagai kelemahan untuk dieksploitasi.”
Sambil menyatakan institusi multilateral seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) “semakin merosot”, Carney menyeru kuasa pertengahan seperti Kanada untuk “bertindak bersama kerana jika anda tidak berada di meja perundingan, anda akan menjadi mangsa”.
Beliau turut menyuarakan sokongan padu terhadap Greenland dan Denmark serta menentang tarif dicadangkan AS.
Nada sama disuarakan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang berkata: “Ia peralihan ke arah dunia tanpa peraturan. Di mana undang-undang antarabangsa dipijak dan satu-satunya undang-undang yang penting adalah undang-undang rimba, manakala cita-cita imperialis muncul semula.”
Macron berkata, Kesatuan Eropah (EU) “tidak seharusnya teragak-agak” menggunakan mekanisme antipaksaan sebagai tindak balas terhadap ancaman tarif AS.
“Kami lebih memilih rasa hormat daripada pembuli. Dan kami lebih memilih kedaulatan undang-undang berbanding kekerasan.”
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, turut menyuarakan sokongan penuh EU terhadap Greenland serta Denmark sambil menegaskan “kedaulatan dan integriti wilayah mereka tidak boleh dirunding”.
Tanpa merujuk Trump, beliau menyifatkan cadangan tarif tambahan itu kesilapan, khasnya antara sekutu lama.
Laporan Risiko Global 2026 oleh WEF, antara penerbitan utama yang dikeluarkan menjelang mesyuarat tahunan itu, menunjukkan risiko geopolitik dan ekonomi meningkat dalam era persaingan baharu.
Laporan itu mengenal pasti konfrontasi geoekonomi sebagai risiko utama bagi 2026, diikuti konflik antara negara, cuaca ekstrem, polarisasi masyarakat serta maklumat salah dan palsu.