Kes campak ular takutkan murid, 10 staf APM digantung

mohd-noor-hassan_ular_600

KUALA KANGSAR: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak menggantung 10 kakitangannya yang mengarahkan 45 kanak-kanak mengharung kolam berlumpur sebelum mencampak ular ke dalamnya, baru-baru ini.

Semua kakitangan itu juga tidak akan dibenarkan mengambil bahagian dalam program kurikulum sekolah sehingga inkuiri selesai, lapor Malay Mail.

Jabatan itu juga menggantung program motivasi yang disertai 45 murid SK Beluru, Kuala Kangsar di mana mereka dipaksa masuk ke dalam kolam dengan ular sawa di dalamnya.

Pengarah APM Perak Kolonel Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata jabatan itu menggantung 4 jurulatih dan 6 pembantu untuk siasatan dalaman.

“Program itu juga digantung. Kami mahu memastikan keadilan ditegakkan dan hukuman setimpal dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah, mengikut prosedur kami,” katanya dipetik daripada Malay Mail.

Program di mana insiden itu berlaku ialah edisi ke-32 dan ia bermula pada 2012 membabitkan 1,622 murid sekolah dalam tempoh sepanjang 4 tahun lalu.

Noor Hassan dipetik sebagai berkata prosedur standard operasi jabatan itu tidak membenarkan penggunaan reptilia seumpama itu kecuali ia untuk pameran atau demonstrasi bagaimana hendak menangkap atau mengendalikan ular.

Katanya, beliau “terkejut” dengan insiden itu.

Kakitangan terbabit menjalankan kem motivasi untuk murid – lelaki dan perempuan berusia antara 10 dan 12 tahun di ibu pejabat pasukan itu di Kuala Kangsar pada Sabtu.

Video itu yang menjadi viral, menunjukkan kanak-kanak perempuan menjerit dan menangis selepas diarahkan masuk ke dalam kolam yang kemudian diberitahu ada 2 ular sawa di dalamnya.

Kem 3 hari itu yang diadakan dari Jumaat hingga Ahad, dianjurkan bersama Jabatan Pertahanan Awam dan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Kuala Kangsa ACP Termizi Abdul Haq berkata laporan polis dibuat oleh kakitangan Pasukan Pertahanan Awam Kuala Kangsar meminta bantuan polis untuk mengenal pasti siapa yang memuat naik video berkenaan.

Malay Mail memetik Termizi sebagai berkata polis tidak melakukan siasatan jenayah, tetapi cuba mencari siapa yang memuat naik video itu di Internet hingga ia viral.

Mereka menyiasat kes itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Termizi berkata setakat ini tidak ada ibu bapa yang membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Pautan:

4 jurulatih APM disiasat guna ular takutkan murid