
Hakim Datuk Azman Abdullah berkata demikian dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman penjara 2 tahun terhadap Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki lebih 100 gambar berkaitan kumpulan pengganas IS, Mac lepas.
“Perkembangan subversif di Malaysia selepas komunis, (keganasan IS) dapat dilihat, dibenci seluruh masyarakat.
“Gerakan subversif merupakan sesuatu yang perlu ditangani kerana ia berselindung di sebalik agama. Ia merupakan satu ancaman yang membawa kepada kekejaman dan kucar-kacir sekiranya tidak dicantas,” kata hakim.
Hakim memerintahkan Siti Nor menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 22 Mac lalu.
Siti Nor didakwa memiliki telefon bimbit jenama Lenovo yang di dalamnya terdapat 139 gambar merupakan item berkaitan kumpulan pengganas iaitu IS.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No 104, Kampung Ujung Tanjung, Kuala Perlis, Kangar, Perlis, pada 8.20 pagi, 22 Mac lepas.
Ibu seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.
Berdasarkan fakta kes pada 22 Mac lepas, tertuduh ditahan sepasukan anggota polis di sebuah rumah dan hasil soal siasat, tertuduh menunjukkan tempat beliau meletakkan sebuah telefon bimbit di bawah bantal di sebuah bilik rumah tersebut.
Hasil analisa polis mendapati terdapat 139 gambar berkaitan kumpulan pengganas dan kegiatan keganasan.
Terdahulu peguam Farida Mohammad yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tempoh reman dilalui tertuduh yang mempunyai masalah kesihatan serta mempunyai seorang anak berusia 8 tahun, sudah cukup memberi kesedihan dan trauma kepadanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana pemilikan item pengganas juga kesalahan serius yang memerlukan hukuman berat.