KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menyiasat dan mendakwa 26 individu yang ditahan ketika serbuan di majlis berkaitan Syiah, Khamis lalu.
Penolong Pengarah Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, siasatan dibuat di bawah 3 seksyen Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.
“Ketika serbuan, majlis itu dihadiri 33 orang termasuk 7 kanak-kanak. Kita akan siasat semua orang dewasa yang terlibat kecuali 7 kanak-kanak tersebut.
“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4 berhubung menyebarkan doktrin atau amalan yang berlawanan dengan fatwa negeri, Seksyen 9 tentang mengingkari pihak berkuasa agama dan Seksyen 12 tentang mengembangkan pendapat berkaitan Islam yang berlawanan dengan fatwa,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam, FMT melaporkan JAINJ bersama polis menyerbu majlis majlis bacaan doa dan kuliah anjuran pengikut aliran Syiah di sebuah rumah kedai di Taman Daya, Johor Bahru.
Pada serbuan kira-kira jam 10 malam itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa kotak berisi buku.
Beliau turut mengesahkan penangkapan 5 individu ketika serbuan itu dan arahan kepada semua yang terlibat untuk hadir ke pejabat JAINJ.
“Berdasarkan penyiasatan, 5 individu ini adalah orang penting dalam majlis tersebut dan sudah ditahan. Bagi yang lain, kita perintah mereka hadir ke pejabat JAINJ untuk siasatan dan akan turut didakwa jika memang terlibat secara langsung,” katanya yang mengetuai serbuan itu.
Katanya lagi, serbuan itu dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Johor yang menetapkan mazhab Syiah sebagai bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pada 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa Syiah menyeleweng daripada Islam dan mengharamkan umat Islam Malaysia mengamalkannya.