Tragedi JB paling buruk, insiden ke-8 hospital kerajaan

Hospital Sultanah AminahKUALA LUMPUR: Insiden kebakaran unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru yang meragut 6 nyawa semalam adalah kejadian kebakaran besar pertama yang berlaku di hospital itu.

Bagaimanapun, kes itu mencatatkan sebagai tragedi paling buruk membabitkan kehilangan nyawa dalam sejarah kejadian kebakaran hospital di negara ini.

Terdapat 7 insiden kebakaran besar berlaku melibatkan beberapa hospital
sejak 1993:

  • 30 Mei 1993: Sebahagian dari tingkat 2 di blok pentadbiran di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersebelahan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran pada 2.30 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
  • 8 Julai 1993: Kebakaran di Institut Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur pada 2 pagi menyebabkan 190 katil pesakit dikosongkan untuk keselamatan. Kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
  • 16 Jan 1995: Kebakaran di bawah tangga di tingkat 3 Hospital Universiti memusnahkan beberapa barangan pembinaan yang disimpan oleh kontraktor di bawah tangga.
  • 2 Mei 2007: Bekalan elektrik terpelantik dalam lif yang menyebabkan kebakaran kecil di tingkat 1 Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur, menyebabkan 50 pesakit dan pelawat terpaksa dipindahkan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
  • 30 Julai 2011: Kebakaran di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api. Kejadian berlaku pada 12.30 tengah malam itu menyebabkan api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal. Seorang maut dalam kejadian itu.
  • 15 Feb 2014: Sebuah blok bangunan baharu di Hospital Umum Sarawak terbakar akibat percikan api kimpalan daripada pembinaan di dalam kawasan hospital. Tiada kerosakan dilaporkan tetapi seorang pekerja binaan warga Indonesia berusia 35 tahun ditemui mati dengan tanda terbakar di tempat kejadian. Seramai 151 pesakit dari 6 wad dipindahkan.
  • 15 Ogos 2016: Kebakaran kecil di stor simpanan barang Hospital Sri Kota, Klang. Tiada pemindahan pesakit atau pelawat, dan tiada sebarang kemalangan jiwa.

Menurut maklumat daripada laman sesawang HSA, hospital yang terletak di Jalan Skudai kira-kira 2km dari pusat bandar Johor Bahru itu dibina pada 1938 bagi menggantikan hospital terawal di daerah itu pada 1882.

Dengan keluasan 98.6 hektar, HSA yang berhampiran Selat Tebrau dan berhadapan dengan Singapura itu mempunyai bangunan hospital setinggi 5 tingkat.

Direka bentuk oleh syarikat arkitek Palmer and Turner, HSA mempunyai 2 sayap berbentuk “T”.

Kini HSA menyediakan 21 perkhidmatan klinikal, 9 perkhidmatan sokongan klinikal, 5 perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan 7 unit di bawah Pengurusan HSA.

Ia juga menjadi pusat rawatan koronari dan pembedahan jantung bagi Wilayah Selatan termasuk Sabah dan Sarawak.

Sehingga 2010, sebanyak 989 buah katil disediakan di HSA bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di negeri itu.

 

6 maut dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah di JB