Punca Sungai Buah tercemar akan disiasat, kata menteri

Punca Sungai Buah tercemar akan disiasat, kata menteri

Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarahkan untuk melakukan siasatan bersama kerajaan negeri Selangor.

wan-junaidi-semenyih
KUCHING: Siasatan bersepadu akan dilakukan secepat mungkin bagi mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Buah yang mengalir ke Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar.

Katanya, beliau mengarahkan ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan siasatan bersama kerajaan negeri Selangor.

“Kita mesti mengenal pasti dan menyaman pihak bertanggungjawab. Kita perlu menggunakan undang-undang yang ada seperti Ordinan Kerajaan Tempatan, undang-undang dan peraturan JAS serta hukuman berat bagi kesalahan seperti ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata beliau percaya pencemaran itu tidak dilakukan secara sengaja kerana ia berterusan antara 2 hingga 3 hari lalu.

“Sama ada orang atau pemilik kilang yang cuai, jahil atau tidak prihatin tentang kesan pembuangan air buangan ke dalam sungai, kita akan menyiasat hingga ke akar umbi.

“Tapi saya mesti tekankan di sini, kita hanya akan menyiasat dan kemudian merujuk hasil siasatan kita kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pendakwaan,” katanya.

Katanya, beliau menerima pelbagai laporan pencemaran dikatakan berpunca daripada hasil buangan sisa dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.