Umno persoal kelebihan SPLASH hingga Azmin sanggup bayar RM2.9 bilion

noh-omar-azmin-1

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) mempersoal keistimewaan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) sehingga kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti syarikat konsesi air itu.

Pengerusi Perhubungan BN negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, isu itu tidak berjaya diselesaikan kerana bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim hanya bersetuju membayar RM250 juta semasa mentadbir Selangor.

“RM2.9 bilon untuk bayar kepada SPLASH yang mana dulu kita tahu sebab masalah SPLASH tidak selesai kerana Tan Sri Khalid hanya bersetuju membayar RM250 juta.

“Jadi kita nak tanya apa keistimewaan SPLASH ini sehingga kerajaan membayar begitu tinggi, siapa di belakang syarikat terbabit? Kenapa kena beri keistimewaan tukar tanah dari kawasan pertanian kepada pembangunan di Paya Indah Wetlands oleh syarikat yang sama?” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri himpunan penerangan Umno Selangor hari ini.

Semalam Khalid berkata, kerajaan Selangor tidak pernah menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014 seperti didakwa Azmin.

Katanya, tuduhan Azmin itu dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Azmin untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion ke atas ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.

Khalid mengulas kenyataan Azmin yang disiarkan satu portal berita, antara lain menyatakan kerajaan negeri semasa di bawah Khalid tidak pernah memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.

Noh pada masa sama mempersoal adakah jumlah wang yang dibayar kepada SPLASH 100% hasil daripada kerajaan negeri atau dipinjam daripada sumber lain.

“Adakah kerajaan negeri keluar modal? Adakah 100% pinjam daripada pusat atau kerajaan negeri sanggup bayar peratusan daripada kerajaan negeri. Saya nak ingatkan Azmin, apa pun bayaran dibuat kerajaan negeri kepada syarikat kongsesi ini akhirnya rakyat yang tanggung,” katanya.

Tak pernah tawar RM2.975 bilion ambil alih SPLASH, kata Khalid