Kajian: BN tambah 11 kerusi, PAS tinggal 3 pada PRU14

bn-pas

PETALING JAYA: Firma kajian Politweet menjangkakan Barisan Nasional bertambah 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, kesan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kajian itu turut mendapati PAS berisiko kehilangan 10 kerusi DUN, paling rugi berbanding parti kerajaan lain.

Penemuan berdasarkan 1,000 simulasi yang dijalankan Politweet, dengan mengandaikan pertandingan 1 lawan 1 antara parti-parti kerajaan dan BN di Selangor, sentimen pengundi tidak berubah dan peratusan keluar mengundi yang sama seperti PRU13.

“Persempadanan semula kawasan memberi kesan kepada peta pilihan raya dengan BN berkemungkinan dapat memperbaiki bilangan kerusi DUN miliknya di samping mengekalkan kerusi sedia ada,” kata Politweet menurut Malay Mail Online hari ini.

Dalam kedudukan sedia ada, BN mempunyai 12 kerusi, Pakatan Harapan (PKR-DAP-Amanah) 29 dan PAS 13.

Menurut Politweet, PAS berpotensi menang minimum 7 kerusi tetapi 4 daripadanya berisiko pergi kepada parti lawan.

“Daripada 7 kerusi minimum yang dijangka dimenangi oleh PAS, 4 daripadanya adalah berisiko. Peralihan kepada BN di kerusi-kerusi yang dimiliki PAS mungkin menyaksikan PAS menang hanya 3 kerusi berbanding 15 DUN pada PRU13.

“Ini boleh memberi BN sejumlah 27 kerusi berpotensi untuk dimenangi dengan hanya memerlukan 2 lagi kerusi berisiko dari PKR untuk merampas semula kerajaan negeri itu,” menurut Politweet

Setakat ini, PH dan PAS belum memuktamadkan sebarang perjanjian 1 lawan 1 menentang BN. Parti pembangkang lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) belum mengumumkan rancangan mereka di Selangor.

Sebelum ini Institut Darul Ehsan (IDE) membuat kajian sama mendapati jika persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Parlimen, BN hanya memerlukan 35% undi popular untuk terus memerintah Malaysia pada PRU14.

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Redzuan Othman berkata, ia adalah hasil kajian awal pihaknya berdasarkan sentimen pengundi pada PRU 2013.

“Saya tahu cadangan persempadanan semula belum muktamad, tetapi melihat kepada apa yang sudah disiarkan, jumlah undi popular BN yang diperlukan kali ini mungkin kurang (daripada PRU13),” katanya.

Pautan:

Tinjauan: BN dijangka menang selesa selepas persempadanan semula