
Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) bersetuju dan mendesak Kementerian Pendidikan melaksanakannya agar ia tidak mencemarkan nama baik warga pendidik.
Presidennya, Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata usaha itu dapat mengesan guru yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah seterusnya diberi tindakan segera.
“Kita rasa terkilan sepatutnya guru menjadi contoh yang baik. Penglibatan guru dengan dadah jelas menunjukkan mereka tidak mengambil berat langsung peranan membasmi dadah di sekolah dan negara.
“Kita cadangkan kerajaan mewajibkan ujian air kencing kepada guru di sekolah dan ia perlu dilakukan tanpa pilih kasih, malah murid juga perlu dilakukan ujian air kencing kerana ibu bapa bimbang guru mempengaruhi atau pergunakan murid agar terlibat dengan dadah. Ibu bapa juga perlu membantu menangani perkara ini bukannya menyembuyikannya,” katanya kepada FMT.
Ali berkata demikian sebagai mengulas, tindakan pihak polis menahan seorang guru sekolah menengah di Sarawak kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu.
Beliau dalam masa sama tidak menolak kemungkinan, masih ada guru terutamanya di Semenanjung terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah tetapi tidak dilaporkan secara rasmi.
Bagaimanapun, saranan itu ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dengan menyifatkannya seolah memberi gambaran semua guru di negara ini bermasalah.
“Kalau ikutkan memang tak boleh sebab bukan semua guru ada kes dadah. Kalau kita lakukan ujian air kencing kepada semua guru, seolah-olah memberi gambaran semua guru bermasalah.
“Tapi kalau guru besar atau pengetua yang mengesaki guru terlibat dengan dadah, mereka boleh arahkan guru terbabit menjalani ujian air kencing, atas inisiatif sendiri. Kalau nak wajibkan semua, kami tidak setuju kerana bagi saya ia tidak adil,” kata presidennya, Kamarozaman Abd Razak yang mewakili lebih 430,000 kakitangan pengajar ketika dihubungi FMT.
Katanya, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan guru sudah cukup untuk mengesan sejauh mana penglibatan guru dengan dadah.
“Kalau nak tengok terlibat dadah atau tidak, cukup dengan medical check-up sahaja. Isu yang berlaku terlalu kecil berbanding 430 ribu guru yang ada, tapi apabila melibatkan seorang terus nampak besar. Ini tidak adil,” katanya.