
Lorong itu sempit dan sedikit berliku. Di kiri kanan, rumah papan dan zink berdiri rapat, dicat dengan warna-warna yang sudah pudar dimakan cuaca. Bau masakan tengah hari bercampur dengan bunyi motosikal yang lalu sesekali. Bagi kebanyakan orang, tempat seperti itu mungkin sekadar kawasan setinggan atau perumahan kos rendah yang tidak tersusun. Namun bagi sekumpulan kanak-kanak, lorong itulah sekolah pertama mereka.
Mereka duduk bersila di atas tikar nipis. Sebuah papan putih kecil disandarkan pada dinding yang dilukis dengan gambar pokok, huruf-huruf abjad dan nombor berwarna cerah. Seorang wanita muda memegang pen marker dan bertanya soalan matematik mudah. Kanak-kanak itu menjawab beramai-ramai, suara mereka bersahut-sahutan, seolah-olah ruang sempit itu terlalu kecil untuk menampung semangat yang besar.
Di tempat seperti inilah pendidikan sering bermula — bukan di bangunan gah, tetapi di ruang yang dipinjam daripada kehidupan seharian.
Guru yang melangkah keluar dari zon selesa
Artikel BBC tentang Rouble Nagi, guru dari India yang memenangi anugerah Global Teacher Prize kerana mengubah kawasan setinggan menjadi ‘kelas terbuka’, mengingatkan kita bahawa pendidikan tidak semestinya terikat pada empat dinding. Semangatnya sederhana tetapi berani: jika anak-anak tidak datang ke sekolah, sekolah perlu pergi kepada mereka.
Di Malaysia, kita juga mempunyai guru dan sukarelawan yang memilih jalan yang hampir sama. Ada yang membuka kelas tambahan percuma di flat kos rendah pada hujung minggu. Ada yang mengajar anak-anak pekerja asing membaca dan menulis tanpa bayaran. Seorang yang saya kenali mencurah bakti lebih 15 tahun kepada anak-anak pelarian Rohingya bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang diselia oleh sebuah yayasan amal. Ada yang memandu jauh ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk memastikan murid tidak tercicir.
Mereka mungkin tidak menerima hadiah sejuta dolar, tetapi kesannya tidak kurang besar. Mereka melangkah keluar dari zon selesa kerana percaya bahawa potensi kanak-kanak tidak boleh ditentukan oleh alamat rumah mereka.
Pendidikan sebagai jalan keluar
Bagi anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, pendidikan bukan sekadar kewajipan. Ia adalah satu-satunya tangga untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
Seorang remaja lelaki di sebuah perumahan kos rendah di Kuala Lumpur pernah bercerita bahawa dia hampir berhenti sekolah kerana perlu membantu ibunya bekerja. Keputusan peperiksaannya sederhana. Motivasi semakin merosot. Namun seorang guru yang mengajarnya Bahasa Melayu tidak pernah berhenti memberi dorongan. Guru itu bukan sahaja mengajar di kelas, tetapi juga meluangkan masa selepas waktu sekolah untuk membantu beberapa murid yang ketinggalan.
“Cikgu kata saya boleh buat lebih baik,” katanya. “Tak ramai orang pernah cakap macam tu.”
Kata-kata itu mungkin kelihatan kecil. Tetapi bagi seorang remaja yang hampir berputus asa, ia menjadi titik perubahan.
Hari ini, dia sedang mengikuti pengajian diploma di sebuah kolej komuniti. Dia masih tinggal di kawasan yang sama, tetapi pandangannya terhadap masa depan sudah berubah.
Kelas tanpa dinding
Konsep ‘kelas terbuka’ diketengahkan oleh Roubel Nagi dalam artikel BBC itu bukan sekadar metafora. Ia mengingatkan kita bahawa pembelajaran boleh berlaku di mana-mana — di surau kecil, di dewan orang ramai, di bawah pokok, atau di ruang tamu sempit.
Di beberapa kawasan bandar, ada inisiatif komuniti yang mengecat dinding dengan jadual sifir, peta Malaysia dan mesej motivasi. Kanak-kanak yang bermain di situ terdedah secara tidak langsung kepada bahan pembelajaran. Ia mungkin kelihatan sederhana, tetapi ia menanam rasa ingin tahu.
Pendidikan tidak selalu memerlukan teknologi canggih. Kadangkala ia bermula dengan seseorang yang sanggup duduk dan mendengar, yang sanggup menjawab soalan berulang-ulang tanpa jemu, dan yang sanggup mempercayai bahawa setiap kanak-kanak berhak bermimpi besar.
Namun, usaha seperti ini tidak mudah. Ramai anak-anak datang daripada keluarga yang berdepan tekanan ekonomi dan sosial. Ada yang kurang sokongan di rumah. Ada yang terpaksa berkongsi ruang kecil dengan ramai ahli keluarga. Dalam keadaan seperti itu, guru sering menjadi lebih daripada sekadar pendidik — mereka menjadi kaunselor, pendengar dan kadang-kadang pelindung.
Membina kepercayaan komuniti
Apa yang menarik dalam kisah Rouble Nagi ialah penekanannya terhadap hubungan dengan komuniti. Pendidikan tidak boleh dipaksakan dari luar. Ia perlu diterima dan dipercayai oleh keluarga setempat.
Di Malaysia, perkara yang sama berlaku. Program tuisyen percuma atau pusat pembelajaran komuniti hanya akan bertahan jika ibu bapa percaya bahawa ia membawa manfaat sebenar. Kepercayaan itu dibina sedikit demi sedikit — melalui kehadiran konsisten, melalui hasil yang dapat dilihat, dan melalui komunikasi yang jujur.
Seorang sukarelawan di sebuah pusat pembelajaran komuniti di Selangor pernah berkata bahawa cabaran terbesar bukan kekurangan dana, tetapi memastikan kanak-kanak hadir secara konsisten. “Kalau mereka tak datang seminggu, kami akan tanya khabar. Kadang-kadang cuma kerana mereka rasa tidak penting.”
Rasa penting itu yang perlu dipupuk. Apabila seorang kanak-kanak merasakan dirinya dihargai, peluang untuknya kekal dalam sistem pendidikan menjadi lebih besar.
Mimpi yang dilukis di dinding
Di sebuah sudut kelas kecil itu, seorang kanak-kanak perempuan menulis ayat mudah tentang cita-citanya. Dia mahu menjadi guru. Ibunya bekerja sebagai pembantu rumah. Ayahnya tidak mempunyai pekerjaan tetap. Namun matanya bersinar ketika bercakap tentang masa depan.
Mimpi seperti itu mungkin kelihatan jauh. Tetapi setiap sesi pembelajaran, setiap buku yang dibuka, setiap galakan yang diberi, mendekatkannya selangkah demi selangkah.
Dalam masyarakat yang sering membincangkan isu pendidikan dalam kerangka dasar dan peruntukan, kita kadangkala terlupa wajah-wajah kecil di sebalik statistik itu. Mereka bukan angka dalam laporan tahunan. Mereka adalah anak-anak yang menunggu seseorang untuk mempercayai mereka.
Lorong sempit itu mungkin tidak berubah menjadi bangunan sekolah yang megah dalam masa terdekat. Tetapi selagi ada guru yang sanggup duduk di atas tikar dan mengajar dengan sabar, selagi ada komuniti yang memberi ruang untuk pembelajaran berlaku, harapan tetap hidup.
Kadangkala, perubahan tidak bermula di dewan besar atau pentas anugerah. Ia bermula di lorong sempit, di dinding yang dicat penuh warna, dan dalam suara kecil yang berkata dengan yakin, “Saya boleh.” Tahniah dan Syabas Rouble Nagi – penerima Gems Education Global Teacher Prize Winner 2026.
Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.