
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri Jason Loo mendakwa PDC yang memegang 49% dalam Tropical Island Resort Sdn Bhd (TIR) tidak mendedahkan kepada umum cara saham itu dilupuskan.
“Mengapa saham dalam resort pulau Jerejak dijual senyap-senyap?,” katanya, selepas pemegang saham mengawal resort itu mengumumkan ia kini bekerjasama dengan pemaju swasta.
Loo juga menyoal sama ada PDC menjual saham mereka menerusi tender terbuka seperti dinyatakan dalam norma kerajaan atau menerusi urus niaga terus.
“Ketua menteri dan pentadbirannya senyap saja mengenai jualan pegangan 49% itu. Kenapa PDC menjualnya secara rahsia? Kami tahu hanya selepas TIR buat pengumuman mengenainya.
“Mengapa PDC tidak memperoleh baki 51% dalam syarikat itu, seperti pengumuman pengerusi mereka sebelum ini,” katanya merujuk kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi PDC Lim Guan Eng.
TIR sebelum ini menjadi syarikat kerjasama antara PDC dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), iaitu agensi persekutuan.
Baru-baru ini, TIR mengumumkan ia bekerjasama dengan pemaju hartanah Pulau Pinang, Ideal Properties untuk membangunkan semula resort itu dan 32 hektar tanah di pulau berkenaan, yang terletak antara bahagian pulan dan tanah besar negeri itu.
Pelan pembangunan semula itu mengandungi jambatan menghubungkan pulau Jerejak ke Pulau Pinang, 1,200 rumah, sebuah marina, hotel, taman tema, trek basikal sekeliling pulau sepanjang 11.5km dan infrastruktur lain untuk mempromosikan pelancongan di pulau itu.
TIR berkata resort itu yang ditutup sejak Mei, dilaporkan mengalami kerugian besar sejak dibuka pada 2004.
Semalam, Lim berkata pegangannya dalam TIR dijual untuk mendapatkan keuntungan lumayan, menerusi urus niaga “kerajaan kepada kerajaan” dengan UDA.
Katanya, soalan Gerakan itu patut dikemukakan kepada UDA, yang memegang 100% pegangan dalam resort itu.
Katanya, kenyataan mengenai perkara itu akan dikeluarkan hari ini.