
“Ringgit akan terus menghadapi turun naik, sebahagian besarnya berpunca daripada ketidaktentuan dalam persekitaran luar.
“Nilai ringgit tidak patut ditentukan kedudukan spekulasi,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.3% bagi suku ke-3 tahun ini.
Beliau berkata, ringgit susut berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau pada suku ke-3.
“Ini mencerminkan perubahan dalam sentimen pelabur serta aktiviti pengimbangan semula pelabur portfolio di sepanjang suku, didorong terutamanya oleh peristiwa luaran.
“Walaupun semua mata wang serantau terjejas oleh ketidaktentuan berterusan ketika tempoh kadar faedah AS kembali ke paras normal, ringgit dan mata wang negara pengeksport komoditi lain berdepan pelarasan tambahan disebabkan harga minyak mentah global yang tidak menentu pada suku itu,” katanya.
Secara keseluruhan, ringgit menyusut nilai sebanyak 3% berbanding dolar AS pada suku ke-2.
Ringgit juga menyusut nilai berbanding euro (-3.9%), yen Jepun (-4.2%) dan dolar Australia (-5.5%), namun mengukuh berbanding paun sterling (0.2%).
Ringgit juga menyusut nilai berbanding mata wang serantau, kecuali peso Filipina, antara 1.8% dan 7.3%.