Malaysia sekali lagi tolak permintaan Swiss bantu siasat 1MDB

Malaysia sekali lagi tolak permintaan Swiss bantu siasat 1MDB

Peguam negara Switzerland berkata, keputusan Kuala Lumpur itu tidak akan menghalang siasatan terbabit kerana mereka turut bekerjasama dengan negara lain dalam kes berkenaan.

1mdb3
ZURICH: Malaysia sekali lagi menolak permintaan Switzerland untuk mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi menyiasat dakwaan rasuah berkaitan 1MDB, menurut pejabat peguam negara Swiss hari ini.

Bagaimanapun, Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber berkata, keputusan Kuala Lumpur itu tidak akan menghalang siasatan terbabit kerana mereka turut bekerjasama dengan negara lain dalam kes berkenaan.

“Kami hormat keputusan bebas Malaysia berhubung perkara ini. Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia kekal bebas menggunakan maklumat yang diberikan dalam permohonan bantuan Switzerland untuk siasatan mereka,” kata Lauber yang mengesahkan laporan Financial Times (FT).

“Apa yang pasti ialah prosiding jenayah kami sendiri untuk mengekalkan integriti sistem kewangan Swiss akan diteruskan. Kami akan meminta bantuan negara-negara lain, contohnya Singapura yang kita sudah kerjasama dengan baik, bidang kuasa Eropah lain dan Amerika Syarikat.”

FT memetik Jabatan Peguam Negara Malaysia sebagai berkata, ia tidak boleh menerima permohonan Switzerland kerana siasatan jenayah berterusan Polis Diraja Malaysia ke atas perkara berkaitan 1MDB.

Malaysia komited bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa dan “tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Switzerland,” kata jabatan itu kepada FT.

Satu sumber yang biasa dengan perbincangan itu memberitahu Reuters yang pegawai-pegawai Switzerland secara tidak langsung menyuarakan harapan Malaysia akan bekerjasama, tetapi secara peribadi Malaysia meminta Swiss menghentikan siasatan mereka.

Pegawai Malaysia tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Pejabat Lauber berkata, Januari lalu ia mengesyaki penyelewengan daripada 1MDB berjumlah kira-kira AS$4 bilion dan bulan lalu mendakwa skim Ponzi mungkin ditubuhkan untuk menyembunyikan dakwaan penipuan AS$800 juta.

Pendakwa raya persekutuan Swiss membuka siasatan jenayah terhadap 2 bank swasta Switzerland dan 4 individu tidak dikenali berhubung kaitan mereka dengan 1MDB.

1MDB diasaskan Najib yang pernah mempengerusikan lembaga penasihat syarikat itu, kini terbabit dalam siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Najib yang menafikan sebarang salah laku berjanji Malaysia akan bekerjasama dalam mana-mana siasatan antarabangsa.

Siasatan 1MDB: Malaysia belum terima permohonan baharu Switzerland

1MDB: Switzerland minta bantuan, transaksi disyaki babitkan sektor kewangan Swiss

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.