Pelantikan pendakwa raya perlu pengawasan Parlimen, kerajaan diberitahu

Pelantikan pendakwa raya perlu pengawasan Parlimen, kerajaan diberitahu

Projek Sama dan rakan penyelidik berkata semak dan imbang penting dalam proses pelantikan kerana jawatan itu ada kuasa besar.

dewan rakyat
Ahli Parlimen perlu memainkan peranan bermakna dalam meneliti pelantikan pendakwa raya, kata Projek Sama dan rakan penyelidik Maha Balakrishnan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengawasan jawatankuasa Parlimen terhadap proses pelantikan pendakwa raya adalah perlu dan wajar dimasukkan dalam rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan yang bertujuan memisahkan peranan pendakwa raya dan peguam negara, kata sebuah kumpulan reformasi dan seorang penyelidik dasar.

Projek Sama dan Maha Balakrishnan dari Sunway University berkata mekanisme semak dan imbang amat penting dalam pelantikan pendakwa raya, memandangkan jawatan itu pegang kuasa besar, termasuk kuasa tunggal terhadap pendakwaan jenayah.

Mereka berkata RUU semasa mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa budi bicara untuk melantik pendakwa raya, berdasarkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Mereka menyuarakan kebimbangan bahawa kerangka pelantikan yang dicadangkan itu berisiko meletakkan proses tersebut sepenuhnya di luar pengawasan awam atau Parlimen yang bermakna.

Wakil Projek Sama, Ngeow Chow Ying, dan Maha juga berkata beberapa peruntukan perlembagaan menyokong keperluan pengawasan Parlimen.

Mereka merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, khususnya Perkara 39 yang mengekalkan kuasa Parlimen untuk memberikan fungsi eksekutif kepada pihak lain melalui undang-undang.

“Tanpa mekanisme semak dan imbang, cadangan kerajaan berisiko meletakkan pelantikan pendakwa raya di luar pengawasan parlimen dan kehakiman, keadaan yang mana mungkin bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan.

“Akauntabiliti demokratik, kedaulatan undang undang, dan pengasingan kuasa adalah nilai perlembagaan asas yang mesti dilindungi secara aktif, bukan dilepaskan secara senyap,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Dalam kenyataan yang turut disokong oleh pengamal undang-undang, bekas hakim dan ahli akademik itu, Ngeow dan Maha menjelaskan bahawa mereka tidak mencadangkan Parlimen melantik pendakwa raya.

Sebaliknya, mereka mahu Ahli Parlimen memainkan peranan bermakna dalam meneliti proses pelantikan bagi mengagihkan akauntabiliti merentas institusi, serta mengurangkan risiko pengaruh tidak wajar terhadap individu yang bakal memegang salah satu jawatan paling berkuasa dalam negara.

Mereka menggesa Ahli Parlimen di kedua-dua pihak supaya menolak sebarang naratif yang menggambarkan pengawasan Parlimen terhadap proses pelantikan jawatan itu sebagai tidak berperlembagaan.

Mereka juga menggesa RUU itu dipinda bagi memasukkan mekanisme pengawasan Parlimen yang tersusun sebagai sebahagian daripada proses pelantikan.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, bulan lalu berkata Putrajaya berharap dapat mencari ‘titik tengah’ berhubung RUU itu sebelum Jun.

Beliau berkata kerajaan masih mengumpul pandangan daripada NGO, Jabatan Peguam Negara dan parti politik sebelum membentangkan pindaan perlembagaan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.