
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersimpati dengan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang dijatuhkan hukuman penjara semalam, tetapi berharap dirinya tidak terkena nasib serupa.
“Saya bersimpati dengan apa berlaku pada Rafizi, tetapi saya harap saya tidak akan berada dalam situasi sama kerana percaya apa yang saya cakap di Dewan Rakyat dilindungi imuniti Parlimen,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di luar ibu pejabat polis Bukit Aman.
Muhyiddin merujuk kepada Rafizi yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan membocorkan maklumat sulit laporan audit 1MDB pada sidang akhbar yang diadakan di lobi Parlimen antara 24 hingga 28 Mac.
Bekas timbalan perdana menteri itu menekankan sekali lagi sebagai ahli Parlimen, beliau dilindungi di bawah Artikel 63(2) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan imuniti jenayah dan sivil kepada wakil rakyat terhadap apa diucapkan di Dewan Rakyat, meskipun bagi kesalahan OSA 1972.
“Dan sebagai ahli Parlimen, saya ada hak untuk bercakap dan saya ada imuniti. Jadi, saya harap pihak berkuasa akan faham keseluruhan latar belakang perkara ini,” katanya.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin berkata anak guamnya yang juga ahli Parlimen Pagoh disiasat mengikut Seksyen 8 OSA dan Seksyen 4 Akta Hasutan kerana ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat pada 26 Oktober.
“Polis tanya soalan tertentu dan kami menjawabnya sebaik mungkin. Kita berharap perkara itu berakhir di sini dan tidak ada lagi siasatan lanjutan kerana apa yang diucap dan dibuat terletak di bawah haknya sebagai ahli Parlimen,” katanya.
Muhyiddin, yang tersingkir daripada Kabinet pada Julai tahun lalu kerana menentang salah laku membabitkan 1MDB, disoal siasat polis hari ini kerana ucapannya di Parlimen bulan lalu.
Ucapan itu dikatakan mendedahkan maklumat mengenai 1MDB yang diperolehi ketika beliau masih timbalan perdana menteri.
Beliau mendedahkan Kabinet mahu meluluskan pinjaman RM3 bilion kepada 1MDB, tetapi selepas pujukannya, keputusan dibuat untuk menukar pinjaman itu kepada kemudahan kredit tersedia RM950 juta.
Laporan sebelum ini menyatakan polis turut menyiasat 2 lagi bekas menteri kerana ucapan di Dewan Rakyat yang menyentuh mengenai skandal 1MDB. Selain Muhyiddin, bekas menteri lain yang disiasat ialah Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.