
Diketuai Presiden PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mereka berjalan sejauh kira-kira 1km ke Bukit Aman, membawa sepanduk yang menggesa perlindungan hak ahli Parlimen dan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Turut serta dalam kumpulan itu ialah bekas timbalan perdana menteri dan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Lim Kit Siang (DAP).
Beberapa wakil rakyat PAS turut menyertai mereka, termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
“Kami menuntut melepaskan Maria Chin. Saya rasa penahanan beliau adalah satu penyalahgunaan kuasa di bawah Sosma, kerana undang-undang itu hanya bertujuan untuk menghalang aktiviti keganasan yang boleh menjejaskan keselamatan negara,” kata Muhyiddin, sambil menambah penangkapan Maria adalah melanggar Perlembagaan.
“Maria adalah seorang ibu dan aktivis. Perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu lalu juga membuktikan ia adalah perhimpunan aman dan aktivis tidak menyebabkan sebarang masalah.”
Beliau menambah, tindakan mengurung Maria oleh pihak polis sebagai tindakan “tidak berperikemanusiaan”.
Ini merupakan kali ke-2 ahli Parlimen pembangkang mengadakan perarakan ke Bukit Aman.
Pada April tahun ini, kira-kira 50 Ahli Parlimen berarak ke sana untuk membantah penahanan Rafizi.
Empat ahli Parlimen antara yang ditahan sebelum dan selepas perhimpunan Bersih 5 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ahli DAP, Anthony Loke (Seremban) dan Jimmy Wong (Kota Kinabalu) ditahan pada Jumaat, manakala ahli Parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Tian Chua (Batu) ditahan pada malam Sabtu.
Polis menahan Rafizi awal tahun ini kerana mendedahkan dokumen-dokumen daripada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Dokumen itu mengaitkan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Minggu lalu, ahli Parlimen Pandan itu didapati bersalah atas 2 tuduhan membocorkan maklumat daripada laporan sulit audit 1MDB dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Mahkamah, bagaimanapun, membenarkan permohonan Rafizi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.
PAUTAN: