
Ahli akademik yang pernah menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan
Kebangsaan itu berpendapat, penilaian akademik di peringkat sekolah perlu, sama ada dalam bentuk UPSR atau sebagainya.
“Maksudnya dalam pengajian peringkat sekolah rendah selama 6 tahun ini perlu ada penilaian di penghujungnya.
“Jadi penilaian itu masih boleh berbentuk UPSR lama atau yang baru,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Pada 22 November lalu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dijangka dimuktamadkan tahun depan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula menjalankan analisis dan sedang mempertimbangkan masa yang sesuai untuk memutuskan perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata tujuan penilaian itu adalah supaya dapat melihat tahap keberkesanan pendidikan yang diberi selama 6 tahun kepada pelajar sekolah rendah.
“Perlu ada pengukuran di akhir peringkat sekolah rendah sebelum ke sekolah menengah,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut ditanya adakah perubahan dalam sistem pendidikan negara seperti UPSR akan menjadikan murid-murid sekolah seperti tikus makmal.
“Tidak timbul isu tikus makmal. Maksudnya mereka (kerajaan) ingin mengadakan pengukuran baru.
“Mereka mahu mengadakan pengukuran baru yang memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi,” katanya.