‘Kerakyatan segera’ mungkin angkara Dr M, bukan Najib, kata Zahid

‘Kerakyatan segera’ mungkin angkara Dr M, bukan Najib, kata Zahid

Zahid berkata, kerajaan kini terpaksa menanggung kesilapan pentadbiran Dr Mahathir melalui penubuhan RCI untuk menyiasat “Projek IC” di Sabah pada Ogos 2012.

zahid
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak patut menuduh Datuk Seri Najib Razak mengulangi kesilapan sama seperti beliau lakukan ketika mentadbir negara dahulu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri mengulas dakwaan Dr Mahathir pada Sabtu lalu yang Barisan Nasional (BN) bercadang memberi kad pengenalan kepada 5,000 warga asing bagi membolehkan mereka mengundi di setiap kerusi marginal untuk memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Mungkin beliau pernah melakukannya, tetapi kita tidak ambil langkah-langkah silap yang pernah dilakukan beliau dan jangan menuduh apa yang beliau lakukan akan dilakukan oleh saya.

“Dan juga langkah silap beliaulah kami tanggung sekarang ini sehingga terpaksa menubuhkan Suruhanjaya Diraja atau RCI di Sabah,” katanya dalam wawancara bersama FMT hari ini.

Menteri dalam negeri itu merujuk RCI yang ditubuhkan pada Ogos 2012 untuk menyiasat “Projek IC” di Sabah, iaitu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin yang mengubah demografi penduduk negeri itu.

Beliau berkata, Dr Mahathir yang pernah menjadi menteri dalam negeri sepatutnya tahu betapa sukar memberikan status warganegara kepada warga asing.

“Proses mendapatkan pas penduduk sukar, apatah lagi untuk memperolehi taraf penduduk tetap yang diberikan permit masuk. Jauh sekali lebih sukar untuk memperolehi taraf warganegara,” katanya sambil menambah beliau tidak mahu “membuka pekung” pentadbiran lalu, sebaliknya kerajaan sedia ada ingin “membuka buku baharu”.

Dakwaan sama turut muncul pada PRU 2013 apabila ribuan warga asing dikatakan diberi kerakyatan segera bagi membolehkan mereka menjadi pengundi.

5,000 warga asing pastikan BN menang setiap kerusi marginal, kata Dr M

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.