Saman fitnah Najib: Mahkamah benarkan afidavit Tony dikembalikan

Saman fitnah Najib: Mahkamah benarkan afidavit Tony dikembalikan

Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Tony untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memadamkan 2 perenggan dan 2 ekshibit dalam afidavit itu.

reinstate,-affidavit,-1MDB,-Tony-Pua,-Najib-Razak2
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini memasukkan semula 2 perenggan dan 2 ekshibit mengenai 1MDB dalam afidavit Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bagi menyokong permohonannya membatalkan saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Panel 3 hakim diketuai Hakim Datuk Rohana Yusuf dengan sebulat suara membenarkan rayuan Tony untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memadamkan perenggan dan ekshibit dalam afidavit tersebut.

Dalam keputusannya, Rohana berkata mahkamah mendapati ada merit dalam isu dibangkitkan peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Tony.

Dua lagi hakim ialah Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Pada 5 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan 2 perenggan dalam afidavit Tony dan 2 ekshibit mengenai 1MDB.

Najib memfailkan saman terhadap Tony, 43, dan Chan Chee Kong, 52, pemilik portal berita online Mediarakyat.net atas kapasiti peribadinya, kerana mendakwa Tony sebagai penceramah utama pada jamuan malam untuk mengutip derma pada 14 November 2014 mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenai 1MDB.

Beliau mendakwa ucapan Tony yang berunsur fitnah dimuat naik Chan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat.

Najib berkata penerbitan artikel berbaur fitnah itu yang boleh diakses dan dibaca secara bebas di seluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan laman web merosakkan reputasinya.

Tony memohon supaya saman difailkan Najib dibatalkan dan Najib pula memohon kedua-dua perenggan dan ekshibit dalam afidavit sokongan tersebut dipadamkan.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata beliau akan menunggu arahan daripada perdana menteri sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengembalikan semula kedua-dua perenggan dan ekshibit, pada pendapatnya, tidak memberi apa-apa kesan mengenai permohonan Tony untuk membatalkan saman berhubung locus standi.

Alliff Benjamin memberitahu pemberita perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 1 Disember di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan Tony untuk membatalkan saman tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.