
Rafizi berkata dakwaannya itu berasaskan maklumat seorang pemberi maklumat yang menyatakan kira-kira 4,839 hektar hutan simpan di Pekan diterokai.
Katanya, selepas membandingkan peta satelit dengan peta yang diperolehi dari industri pembalakan melalui beberapa individu, beliau percaya “ada asas yang kukuh” peta menunjukkan penerokaan itu adalah benar.
Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Pahang ketika dihubungi FMT berkata pihaknya akan mengkaji dakwaan terbabit.
Rafizi yang membuat pendedahan itu bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata sebagai wakil rakyat Pekan, Najib perlu memberi respon segera.
Beliau juga mendakwa mempunyai maklumat lanjut mengenai penerokaan hutan di seluruh Pahang dan akan “mendedahkannya satu persatu bagi setiap daerah sehingga ada maklumbalas yang kukuh dan tindakan diambil”.
“Saya juga akan terus menyiasat untuk menentukan siapakah sebenarnya dalang di belakang kegiatan pencerobohan ini dan meneliti segala kelemahan pengurusan hutan sehingga menyebabkan berleluasanya aktiviti pencerobohan sebegini,” katanya.