Jufazli mahu lawan ketua menteri Sabah pada PRU14

Jufazli mahu lawan ketua menteri Sabah pada PRU14

Jufazli berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta bagi menumpukan perhatian terhadap perjuangan untuk masa depan Sabah yang lebih baik.

Jufazli-Shi-Ahmad
PETALING JAYA:
Aktivis muda Sabah, Jufazli Shi Ahmad akan bertanding menentang ketua menteri, Datuk Seri Musa Aman di kerusi Sungai Sibuga, Sandakan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah (GAMSS) itu berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta bagi menumpukan perhatian terhadap perjuangan untuk masa depan Sabah yang lebih baik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Musa meraih kemenangan dengan majoriti 11,569 undi dalam pertandingan 5 penjuru. Beliau tidak pernah tewas di kerusi itu sejak pertama kali diturunkan di Sungai Sibuga pada 1999.

“Saya akan berpangkalan di Sandakan sehingga pilihan raya diadakan. Ia adalah tugas sukar tetapi tidak mustahil untuk menewaskan beliau,” katanya kepada FMT.

Pemuda berusia 27 tahun itu berkata, dalam perjuangannya menentang Musa, beliau akan mengetengahkan pelbagai isu, termasuk dakwaan skandal balak membabitkan Musa, isu rasuah Jabatan Air Negeri Sabah, Perjanjian Malaysia 1963, isu pendidikan dan pengangguran pemuda.

Katanya, beliau akan menjalankan 2 inisiatif utama, iaitu program pendidikan dan kajian.

Program pendidikan dinamakan Sekolah Rakyat Sabah akan dilancarkan bulan depan bagi memperbaiki kelemahan dalam silibus pendidikan negeri itu yang Jufazli dakwa terlalu berorientasi ke arah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno Sabah.

“Sejarah Sabah tidak dimasukkan dan pendidikan politik di institusi pengajian tinggi awam atau swasta di Sabah tidak dibangunkan dengan baik.”

Mengenai projek penyelidikan, Jufazli berkata, ia akan menumpukan permintaan pengundi Sabah untuk PRU14.

Beliau berkata, kajian itu juga akan mengetengahkan kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan Umno dan BN.

Bulan lalu, FMT melaporkan Jufazli mengesahkan hasratnya untuk bertanding di PRU14, tetapi tidak akan menyertai mana-mana parti politik pada masa ini.

Katanya, beliau akan bertanding atas tiket parti yang dapat memberikan rakyat Sabah perkhidmatan terbaik dan komited untuk membanteras rasuah di negeri itu.

Jufazli yang mempunyai hampir 40,000 pengikut di Facebook berkata, ditahan di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu kerana mengkritik Musa dan kerajaan negeri Sabah.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau belum didakwa di mahkamah.

Jufazli bertanding PRU14, desak perubahan Sabah

Jufazli kembali fokus pendidikan politik masyarakat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.