Lebih 76% rakyat tiada wang hadapi ‘kecemasan’

akpkPETALING JAYA: Lebih 76% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi masa sukar atau “kecemasan”, kata penolong gabenor Bank Negara Malaysia.

Abu Hassan Alshari Yahaya yang dipetik Sin Chew Daily berkata, hanya 6% rakyat Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk meneruskan hidup lebih 6 bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah, manakala 18% lagi boleh hidup lebih 3 bulan.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi “kecemasan” seperti diberhentikan kerja dan sakit menyebabkan mereka kehabisan wang simpanan dalam masa singkat.

Bercakap pada sidang media selepas dialog anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di ibu negara semalam, Abu Hassan berkata, rakyat perlu membuat persiapan dengan menabung atau mencari jalan menambah punca pendapatan dengan meningkatkan kemahiran mereka dan bekerja dalam bidang berkemahiran tinggi.

Maklumat AKPK menunjukkan antara faktor menyebabkan seseorang itu jatuh miskin ialah tidak tahu menguruskan kewangan (49.7%), gagal dalam perniagaan (15.2%), kos kehidupan tinggi selepas bersara (11.7%), kos perubatan tinggi (11%), hilang pekerjaan (9.5%) dan faktor lain (2%).

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dipetik akhbar sama berkata, statistik kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan 97,215 orang diisytiharkan muflis sejak 2012 hingga 2016, termasuk 22,581 generasi Y berusia 25 hingga 34 tahun dan 1,157 orang berusia 25 tahun ke bawah.

Antara punca muflis ialah tidak mampu membayar pinjaman kenderaan sebanyak 26,801 kes atau 27.6%, pinjaman peribadi (22,153 kes atau 22.8%) dan pinjaman perumahan (18,819 kes atau 19.4%).

Beliau berkata, laporan Institut Kewangan Asia (AIF) menunjukkan tahap pendidikan pengurusan kewangan generasi muda rendah, hanya 28% anak muda menguruskan kewangan manakala 58% mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.

Katanya, 38% generasi muda di Malaysia mempunyai pinjaman peribadi, 47% mempunyai hutang kad kredit, kira-kira 70% hanya membayar kadar terendah 5% hutang kad kredit dan 45% tidak mampu menjelaskan hutang dalam tempoh ditetapkan.

Abu Hassan pula berkata, kebanyakan anak muda mula berhutang pinjaman pendidikan ketika masih bersekolah, disusuli kad kredit dan kereta selepas bekerja, manakala ada yang membuat pinjaman peribadi atas pelbagai sebab, tetapi tidak mampu membayarnya.