SPRM reman lelaki disyaki kemuka butir matan palsu babit nilai RM4 juta

SPRM reman lelaki disyaki kemuka butir matan palsu babit nilai RM4 juta

Kakitangan syarikat khidmat rundingan pengurusan perniagaan itu disyaki laku perbuatan itu sejak 2024 hingga tahun lepas.

logo sprm macc
Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM Yuhafiz Mohd Salleh berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang kakitangan syarikat perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan di ibu negara kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu, antaranya melibatkan tuntutan perjalanan dan pembayaran kad kredit berjumlah kira-kira RM4 juta.

Majistret Ezrene Zakariah mengeluarkan perintah reman empat hari hingga Sabtu ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30an yang bertugas sebagai penyedia perkhidmatan akaun itu ditahan kira-kira 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2023 sehingga 2025,” katanya.

“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan-tuntutan seperti perjalanan dan pengangkutan; yuran perakaunan; pembelian genset dan diesel; pembayaran kad kredit; tuntutan keraian; perbelanjaan ke atas hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit (petty cash); tuntutan belanja yang tidak dikenal pasti; tuntutan pembayaran kerja-kerja landskap serta pembayaran gaji.”

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan Yuhafiz Mohd Salleh yang mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.