
Semalam, polis Jakarta mengesahkan pihak berkuasa memutuskan untuk mengadakan perbicaraan pertama Ahok di Mahkamah Daerah Jakarta Utara yang berada di bangunan Mahkamah Daerah Jakarta Tengah, minggu depan.
Bagaimanapun, menurut akhbar itu pihak berkuasa akan berbincang semula sama ada perbicaraan selanjutnya akan diadakan di mahkamah sama atau tidak, bergantung pada situasi di ibu kota itu selepas perbicaraan pertama.
Organisasi hak asasi manusia Setara Institute berkata memindahkan lokasi perbicaraan itu ke tempat lebih selamat penting bagi memastikan kebebasan hakim dan mengelak perbicaraan oleh rusuhan.
Pengerusinya, Hendardi berkata Kanun Prosedur Undang-undang Jenayah membenarkan perbicaraan dipindahkan ke lokasi baharu jika wujud ancaman keselamatan terhadap mereka yang terlibat.
“Pemindahan lokasi perbicaraan perlu bukan saja untuk memastikan kebebasan hakim tetapi juga supaya keselamatan perbicaraan itu terpelihara.
“Perbicaraan oleh rusuhan itu mungkin berlaku kerana sejak awal lagi kes ini dilaporkan kepada polis, sudah berlaku rusuhan,” katanya dipetik daripada Jakarta Post.
Tuduhan terhadap Ahok menghina Islam mencetuskan kemarahan di seluruh Indonesia dengan rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran pada 2 Disember mendesak gabenor itu ditangkap.
Dengan tersebar khabar angin tentang satu lagi himpunan besar ketika perbicaraan gabenor itu yang dijadualkan bermula pada 13 Disember, Ketua Polis Negara Tito Karnavian berkata polis sedang melihat lokasi lebih selamat untuk perbicaraan itu.
Antara lokasi yang dicadangkan ialah di Cibubur, satu kawasan di pinggir Jakarta.
Demonstrasi rakyat Indonesia beragama Islam terhadap Ahok bermula sejak November dengan paling kecoh pada 2 Disember lalu kerana membantah tindakan Ahok yang disifatkan sebagai penista agama Islam.
Ahok ketika bertemu dengan pengundi di Pulau Seribu pada Oktober meminta mereka supaya tidak terpedaya dengan pihak yang menggunakan surah Al Maidah untuk melarang mereka memilih pemimpin bukan daripada kalangan umat Islam.
Ahok dicabar 2 pasangan yang bertanding bagi 2 lagi gabungan parti-parti politik iaitu pasangan Anies Bsawedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni pada Februari tahun depan.