PKR mahu undang-undang negeri ikut pindaan halang tukar agama anak

PKR mahu undang-undang negeri ikut pindaan halang tukar agama anak

Baru Bian menggesa undang-undang negeri dipinda supaya mengikut pindaan pada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976

baru-bian
KUCHING:
PKR Sarawak hari ini mahu undang-undang Sarawak berkenaan penukaran agama anak dipinda mengikut pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA).

Pindaan LRA, sekiranya diluluskan pada sidang Dewan Rakyat Mac depan, mewajibkan persetujuan ibu dan bapa untuk menukar agama anak.

Pindaan itu menyatakan anak akan kekal dalam agama yang dianuti ibu bapa semasa mendaftar perkahwinan, dan boleh memilih agamanya apabila mencapai umur 18 tahun.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata undang-undang Sarawak berhubung perkara itu masih samar.

Di Sarawak, Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 membolehkan seseorang yang belum mencecah umur 18 tahun menukar agama kepada Islam sekiranya ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

“Saya percaya peruntukan itu tidak menepati perlembagaan seperti yang saya jelaskan tadi, dan langkah dewan undangan negeri Perlis memperkenalkan peruntukan seperti itu merupakan tindakan yang tidak betul, tidak bijak dan terkebelakang,” kata Baru dalam satu kenyataan.

Khamis lepas, dewan legislatif Perlis meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang didakwa membolehkan agama anak ditukarkan dengan hanya izin salah seorang ibu bapanya.

Sebelum ini, Persatuan Geraja-gereja Sarawak turut menyarankan undang-undang Sarawak dipinda supaya selaras dengan perubahan pada perlembagaan nanti.

“Saya menyokong sepenuhnya seruan oleh Persatuan Gereja-gereja agar kerajaan Sarawak meminda Ordinan Majlis Islam Sarawak mengikut pindaan LRA, dan menyelaraskan ia kepada jaminan perlembagaan yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia,” kata Baru.

“Penukaran agama seperti itu menyebabkan banyak keluarga menderita dan diharapkan pindaan itu akan menghalang kes daripada berulang di masa hadapan,” katanya.

Persatuan Peguam-peguam Muslim membantah sebarang pindaan kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia tidak menepati perlembagaan.

Mereka berhujah Mahkamah Persekutuan sebelum ini menafsir perkataan “ibu bapa”” dalam Perkara 12(4) itu sebagai ibu atau bapa atau penjaga, dan bukan ibu dan bapa.

Mengikut perkara sedia ada, ia menyatakan: “agama bagi seseorang yang berumur kurang dari lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.