Ibu saman sekolah atas mesej lucah dihantar daripada akaun anak

Ibu saman sekolah atas mesej lucah dihantar daripada akaun anak

Wanita itu memohon perintah untuk sekolah mendedahkan butiran pelajar bertanggungjawab dan individu membuat laporan palsu terhadap anak perempuannya.

laptop
Ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun mendakwa seorang pelajar antarabangsa menggodam platform Microsoft Teams sekolah dan menggunakan nama anaknya untuk menghantar mesej serta e-mel lucah. (Gambar Rawpixel)
JOHOR BAHRU:
Ibu kepada seorang pelajar 12 tahun memfailkan saman bagi tujuan ‘pre‑action discovery’ terhadap sebuah sekolah antarabangsa di sini bagi mendapatkan dokumen dan maklumat untuk meneruskan prosiding undang‑undang terhadap seorang penggodam didakwa menggunakan platform Microsoft Teams sekolah itu bagi menyebarkan mesej lucah menggunakan nama anak perempuannya.

Sekolah itu bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat berkenaan kerana terikat kepada undang‑undang data peribadi dan berkata ia bertindak secara bertanggungjawab dengan segera menyiasat insiden terbabit, membersihkan nama mangsa serta mengambil langkah perdamaian sewajarnya

Tuntutan plaintif

Dalam saman pemula yang difailkan bagi pihak anak perempuannya, ibu itu memohon mahkamah memerintahkan pihak sekolah mendedahkan butiran pelaku serta ibu bapa mereka.

Beliau turut meminta pihak sekolah mengemukakan hasil siasatan dan butiran tindakan diambil terhadap penggodam terbabit serta individu yang membuat tuduhan palsu terhadap anak perempuannya.

“Kami mahu pihak sekolah mendedahkan butiran penuh pelajar bertanggungjawab, termasuk ibu bapa atau penjaga mereka, supaya mereka boleh dinamakan sebagai defendan dalam saman,” kata wanita itu dalam afidavit menyokong permohonannya.

Menurutnya, semua dokumen dimohon itu sangat penting dan berada dalam simpanan pihak sekolah.

Selepas insiden itu, katanya, beliau telah menghantar notis guaman kepada pihak sekolah tahun lalu untuk meminta butiran terbabit, tetapi pihak sekolah enggan berbuat demikian.

Beliau mendakwa pelajar yang menggodam sistem itu menyamar sebagai anak perempuannya ketika menghantar bahan berkenaan dan pelaku membuat tuduhan palsu mendakwa anaknya menyalahgunakan sistem terbabit.

“Keadaan bertambah teruk apabila mesej dan panggilan WhatsApp diterima anak perempuan saya, di mana pemanggil mendakwa dirinya ibu kepada pelajar yang akaunnya digodam.

“Pemanggil itu mengugut anak perempuan saya dan memaksanya mengaku dialah yang menggodam sistem serta menyebarkan bahan lucah itu.”

Wanita itu mendakwa anak perempuannya berdepan ketakutan, tekanan emosi serius dan kerosakan teruk terhadap reputasinya sehingga enggan ke sekolah, sebelum terpaksa berpindah ke sekolah lain.

Jawapan sekolah

Pihak sekolah dalam afidavitnya berkata, insiden itu di luar kawalan defendan dan semua langkah perlu sudah diambil untuk menangani isu berkenaan.

Tegasnya, siasatan telah dijalankan sewajarnya dan nama mangsa dibersihkan sepenuhnya serta tanpa keraguan pada Mac tahun lalu.

“Selepas satu mesyuarat antara wakil sekolah dan ibu terbabit, anak perempuannya serta semua pelajar Tahun 6 dimaklumkan mangsa tidak terbabit dalam perkara itu.

“Pada atau sekitar 12 Jun tahun lalu, pihak sekolah mengadakan sesi perdamaian membabitkan semua pelajar berkaitan perkara itu, termasuk pelaku dan mangsa,” kata wakil sekolah sambil menambah pelaku telah memohon maaf kepada semua pihak terlibat.

Wakil sekolah itu turut menegaskan identiti pelaku sudah diketahui ibu dan anak perempuannya.

“Plaintif (ibu) juga tidak dihalang memulakan prosiding undang‑undang terhadap pelaku hanya kerana tiada bukti lanjut di peringkat ini.”

Pihak sekolah turut menafikan dakwaan mangsa mengalami tekanan emosi teruk, ketakutan serta kerosakan reputasi kerana pelajar itu tetap menghadiri majlis graduasi walaupun telah meninggalkan sekolah berkenaan.

“Kehadirannya pada majlis graduasi sama sekali tidak selaras dakwaan yang kini dikemukakan terhadap pihak sekolah. Saya benar‑benar percaya sepanjang majlis itu, pelajar terbabit bergaul dan berinteraksi dengan rakan‑rakannya,” kata wakil sekolah itu.

Tegasnya, ia berhak mengemukakan bukti bergambar yang menunjukkan kehadiran mangsa pada majlis itu.

FMT tidak menamakan semua pihak terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.