Matrade: Ringgit lemah bukan penentu lebihan dagangan tinggi

Matrade: Ringgit lemah bukan penentu lebihan dagangan tinggi

CEO Dzulkifli Mahmud menepis dakwaan hartawan Vincent Tan, kerana keadaan rakan dagangan juga perlu diambil kira.

Matrade-CEO-Dzulkifli-Mahmud
KUALA LUMPUR: Susut nilai ringgit tidak akan membawa kepada lebihan dagangan yang lebih tinggi, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) hari ini.

Membetulkan pandangan berbeza oleh ahli perniagaan Vincent Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Dzulkifli Mahmud berkata kesusutan nilai ringgit bagaimanapun boleh memberi manfaat kepada syarikat Malaysia di luar negara.

Dalam satu laporan hari ini, Vincent memberitahu FMT kesusutan nilai matawang, sepertimana yang disaksikan dalam krisis kewangan Asia 1997, boleh menyebabkan lebihan dagangan yang lebih tinggi dan pertumbuhan positif.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Lebihan dagangan bergantung kepada kemampuan eksport kita,” kata Dzulkifli pada satu sidang media di menara Matrade hari ini.

“Tetapi untuk meningkatkan jumlah eksport, kita perlu melihat keadaan rakan dagangan di seluruh dunia.

“Kita boleh perhatikan yang China, Amerika Syarikat dan Eropah sekarang ini mengurangkan import.”

Beliau menambah kenyataan Vincent itu tepat untuk menggambarkan kedudukan dagangannya ketika ini, yang mengambil kesempatan daripada ringgit yang lemah.

“Vincent mempunyai perniagaan di luar negara dan hasil daripada operasi itu memberi pulangan yang lebih tinggi sekiranya ia dibawa pulang dan ditukar kepada ringgit, ketika ringgit sedang lemah,” kata Dzulkifli tentang pemilik kelab bola sepak Cardiff City itu.

Perkara yang sama juga boleh menggambarkan perniagaan lain yang beroperasi di luar negara, kata Dzulkifli.

“Sebelum nilai matawang turun, AS$1.00 mungkin bersamaan RM4.00. Sekarang mereka boleh meraih lebih banyak ringgit pada nilai dolar yang sama.

“Jadi mereka meraih lebih banyak ringgit sekiranya hasil perniagaan dibawa pulang.

“Beberapa syarikat Malaysia berkata kadar pertukaran asing membolehkan mereka memperoleh margin keuntungan yang berlebihan sehingga 12% hingga 15%,” katanya.

Dzulkifli menambah walaupun negara masih menikmati lebihan dagangan, permintaan import dan eksport menurun pada bulan Oktober tahun ini.

Kadar mata wang ringgit ketika ini RM4.44 berbanding AS$1.00.

Pakar ekonomi berkata susut nilai ringgit mungkin menjejaskan industri tertentu, sementara pihak lain berkata ia mungkin menguntungkan negara dalam jangka masa panjang.

Ini kerana barangan yang dihasilkan di Malaysia akan kelihatan lebih murah lantas menjadikan negara lebih berdaya saing.

Dzulkifli bersetuju dengan pendapat itu dan berkata keadaan sekarang menyebelahi syarikat yang mengeksport barangan Malaysia.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.