
“Sebenarnya pekerja berkenaan tidak mahu berkongsi dengan majikan apa sebenarnya penyakit yang dihadapi,” kata Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan kepada FMT.
MAC sebelum ini mendakwa Kod Amalan Tentang Pencegahan dan Pengurusan HIV/Aids di Tempat Kerja yang diperkenalkan pada 2001 tidak diendahkan majikan menyebabkan pesakit masih didiskriminasi.
Menurut MAC, ramai yang hilang pekerjaan apabila penyakit mereka diketahui majikan.
Bagaimanapun, Shamsuddin berkata pekerja memilih untuk berhenti sendiri dan tidak mendedahkan punca sebenar.
“Bukan majikan yang memberhentikan mereka. Jauh sekali begitu. Kita pun tahu tanggungjawab kita sebagai majikan dan kita juga ada amalan atau panduan bagaimana harus majikan menangani kes HIV/Aids di tempat kerja.
“Dan kalau majikan diberitahu tentang perkara berkenaan, kalau pun penyakit itu tidak boleh diubati, majikan masih boleh membuat permohonan kepada Socso supaya kes berkenaan diklasifasikan sebagai penyakit ilat (penyakit yang tidak boleh diubati) dan pekerja boleh mendapat pencen ilat daripada Socso,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MTUC J Solomon menyifatkan sebagai kejam tindakan majikan yang memberhentikan pekerja menghidap HIV/Aids.
“Kalau mereka diberikan rawatan yang sesuai dan mereka ikut apa yang dinasihatkan doktor, mereka juga boleh mengamalkan kehidupan yang sihat. Tak semestinya mereka harus dipecat.
“Kadang-kadang bukan kesalahan atau kesilapan mereka menghidap penyakit HIV/Aids kerana mereka mendapat penyakit itu daripada ibu bapa dan kadang-kadang menjadi mangsa,” katanya.
Solomon berkata mereka seharusnya dilayan sebagai pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk memberikan mereka peluang dalam kehidupan.
Pautan:
Pekerja hidap HIV/Aids terus didiskriminasi, lapor Majlis Aids Malaysia