Zahid: Rakyat tentukan, bukan penganalisis

Zahid: Rakyat tentukan, bukan penganalisis

Pemangku timbalan presiden Umno menepis kenyataan penganalisis Singapura mengenai Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

zahid-hamidi_rakyat_malaysia_6001
PUTRAJAYA:
Penganalisis boleh kata apa sahaja mengenai parti politik dan pilihan raya, penghujungnya rakyat tentukan apa yang mereka mahu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Pemangku timbalan presiden Umno juga berkata penganalisis tidak sepatutnya melekatkan label pada seseorang.

Zahid menjawab pandangan Yang Razali Kassim, felo kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang Singapura, di Strait Times.

Yang Razali berkata, walaupun Umno masih sebuah parti Melayu yang dominan, ia tidak lagi dianggap sebagai satu-satunya wakil aspirasi politik masyarakat Melayu.

Mengulas keyakinan yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan Umno di perhimpunan agung Umno baru-baru ini, Yang Razali berkata:

“Di luar Umno – malah di luar lingkungan masyarakat Melayu – perasaan mungkin jelas berbeza.”

Beliau memberi bayangan Umno mungkin sudah tersalah membaca perasaan rakyat.

Zahid menepis pandangan itu. “Penganalisis politik sama ada dalam atau luar negara hanya untuk menganalisis sahaja. Kita tak tahu sama ada kajian itu berstruktur atau tidak.

“Itu pendapat mereka. Yang penting, kita tengoklah apa yang diputuskan oleh rakyat pada pilihan raya umum. Kerajaan akan terus lakukan yang terbaik untuk rakyat.”

Yang Razali turut mengulas tekanan terhadap Najib akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta tindakan terhadap pengkritik, dan pembabitan dalam tunjuk perasaan membantah pembantaian Rohingya bersama PAS.

“Terdesak melangsung hayat politiknya, strategi Najib sudah menukarnya daripada seorang ahli politik yang budiman kepada haiwan politik yang kita tidak lagi kenali.”

Menonjolkan dirinya sebagai seorang nasionalis Melayu, Najib “meluaskan kempen dengan memaparkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam, mengambil kesempatan daripada krisis kemanusiaan Rohingya di Myanmar, yang kena pada waktunya.”

Yang Razali menambah: “Biasanya berwaspada sebelum melangkah dan memilih kata, beliau memainkan watak yang berbeza di himpunan solidariti Rohingya.”

Menjawab pandangan itu, Zahid berkata: “Penganalisis jangan tuduh orang. Melekatkan label bukan tugas seseorang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.