
Dalam surat yang disiarkan di laman Facebook Anis, Dr Mahathir berkata beliau terganggu dengan tindakan tatatertib Universiti Malaya ke atas Anis kerana penglibatan beliau dalam perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 (MO1).
“Seharusnya, pihak universiti tersohor di Malaysia menyokong keberanian dan keprihatinan saudari memperjuangkan masa depan negara dan anak bangsa.
Saya dapati saudari amat jelas di dalam tindakan yang saudari ambil iaitu saudari bimbang akan masa depan negara dan generasi akan datang akibat daripada salah laku MO1,” kata Dr Mahathir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata MO1 adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Saudari tidak bersendirian di dalam kebimbangan ini. Saya yang di penghujung usia mungkin akan terlepas menghadapi penderitaan angkara MO1.”
Beliau menyuarakan harapan agar Anis tabah menghadapi tindakan tatatertib yang dihadapi, sambil menambah perjuangan tanpa pengorbanan bukanlah perjuangan sebenar.
Dr Mahathir berkata beliau berharap belia lain mencontohi Anis dan UM akan menyedari penglibatan beliau dalam perhimpunan itu adalah demi tanggungjawab beliau terhadap masa depan negara, dan bukannya isu disiplin.
Minggu lalu, Anis dikenakan hukuman gantung 6 bulan oleh panel tatatertib Universiti Malaya dan denda RM400 kerana penglibatan beliau dalam perhimpunan tersebut.
Anis berkata, penggantungan dan denda tidak akan menutup mulut beliau.
Perhimpunan # TangkapMO1 dianjurkan gabungan kumpulan pelajar dan belia yang menggesa penangkapan MO1 dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam samannya baru-baru ini yang dikaitkan dengan 1MDB.
PAUTAN: